Sekelumit Rasa Sejernih Suasana
Friday, April 17, 2009
21 maut ketika nyenyak tidur
PENDUDUK mencari barang yang boleh digunakan dicelah-celah runtuhan rumah mereka di daerah Nangarhar dalam kejadian gempa bumi di Sherzad. Berpuluh penduduk terkorban apabila gempa berukuran 5.5 skala Richter melanda timur Afghanistan, awal pagi tadi. - Foto Reuters
BHEZAD KHEIL: Dua gempa bumi yang menggegarkan timur Afghanistan pagi semalam, meruntuhkan rumah yang diperbuat daripada batu lumpur dan menghempap penghuninya yang sedang nyenyak tidur, mengakibatkan sekurang-kurangnya 21 orang terkorban.
Gempa itu sekuat magnitud 5.5, melanda empat perkampungan di kawasan berbukit di wilayah timur Nangarhar, kira-kira 50 kilometer dari sempadan Pakistan.
Shafiqullah dari kampung Bhezad Kheil berkata, 21 orang dikebumi dalam sebuah kubur, termasuk dua jirannya yang masih muda. Nijad, 10 dan Sima, 7, meninggal dunia apabila bumbung di bilik atas rumah mereka menghempap mangsa, kata Shafiqullah.
Gempa itu memusnahkan kira-kira 100 rumah di empat perkampungan di daerah Sherzad, kira-kira 90 kilometer di timur Kabul, kata jurucakap gabenor, Ahmad Zia Abdulzai.
Timbalan Ketua Majlis Wilayah Nangarhar, Mohammad Tahir Zahir, berkata 40 orang maut, manakala Ketua Pusat Bencana dan Persediaan Nasional, Abdul Mateen Edraak, berkata 18 orang disahkan maut, namun jumlah itu mungkin meningkat kerana lebih banyak mayat ditemui di sebalik runtuhan.
Penduduk di perkampungan Mir Gadkhel berkata, mereka menjangka berpuluh-puluh penduduk terbunuh.
"Tiga anggota keluarga saya maut dan tujuh lagi cedera. Saya fikir 40 orang maut, ratusan rumah musnah," kata Gul Mohammad dari perkampungan itu terletak 45 kilometer barat bandar Jalalabad.
Tidak jauh dari situ, seorang bapa meratapi seorang mayat anak perempuan dan dua anak lelaki. Berhampirannya, mayat seorang lelaki dan dua wanita.
"Saya sedang tidur apabila gempa berlaku. Kami keluar sekejap dan kembali ke rumah. Kemudian berlaku gegaran lain yang amat kuat. Bumbung runtuh dan membunuh abang dan dua anaknya," kata seorang budak, Amrullah.
Kira-kira 50 wanita memakai skaf hitam berkumpul di jalan sambil meratap.
Di Sar Kot, satu lagi perkampungan, wanita berkumpul di sekeliling mayat kanak-kanak, menangis dan memukul kepala mereka sebagai tanda kesedihan. Seorang jurukamera mengira kira-kira 10 mayat di kampung itu dan kira-kira 12 rumah musnah. - Reuters
Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Dunia/20090417234258/Article/indexworld_html
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment