Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Tuesday, August 18, 2009

Rakyat Afghan tekad keluar mengundi Khamis

KABUL 18 Ogos - Rakyat Afghanistan yang telah mengharungi pendudukan Soviet, perang saudara dan penindasan Taliban kini sanggup bertarung nyawa untuk mengundi bagi membawa masa depan lebih baik kepada Afghanistan, tetapi tidak yakin Presiden yang dipilih kelak mampu menghasilkan keamanan dan kemakmuran yang dijanjikan.

Dengan berakhirnya tempoh kempen selama dua bulan semalam, kira-kira 17 juta pengundi Afghan mempunyai kesempatan sehingga hari pengundian pada Khamis ini untuk memikirkan sama ada hendak menunaikan hak demokratik mereka untuk memilih seorang ketua negara, buat kali kedua dalam sejarah negara yang dilanda perang ini.

"Ada desas-desus dan khabar angin menyatakan Taliban akan menggendalakan pilihan raya.

"Jika orang terbunuh, saya juga mungkin terbunuh sama, tetapi saya tetap akan mengundi dengan menyedari risikonya. Saya bukan lebih baik daripada orang lain, tetapi saya akan mengambil risiko itu," kata seorang balu, Amina, 35, di bandar Kandahar, selatan negara ini, yang kerap menjadi medan serangan puak militan.

Pemberontak Taliban membunuh semakin ramai askar Barat dan Afghanistan, negara kelima termiskin di dunia, tetapi banyak kemajuan telah dicapai terutamanya di bandar-bandar di bawah kawalan kerajaan.

Lelaki dan wanita mengecapi lebih banyak kebebasan jika dibandingkan semasa rejim Taliban, ekonomi dibuka kepada pelaburan asing, manakala televisyen, radio dan telefon mudah alih semakin popular di kalangan penduduk bandar, dan berjuta-juta pelarian sudah kembali ke tanah air.

"Pilihan raya adalah antara prinsip utama demokrasi dan sangat penting. Memang ada masalah tetapi saya fikir rakyat Afghan akan keluar mengundi," kata seorang siswazah sains politik, Fazel Ali Farzil dari wilayah Nangarhar, timur Afghan.

Menurut beliau, masalah akan timbul di sesetengah tempat tetapi bukan di seluruh Afghanistan.

"Letupan, serangan berani mati dan pembunuhan bukan perkara baru, penduduk sudah biasa dengan ancaman itu," kata Farzil.

Kira-kira lapan juta rakyat Afghan mengundi dalam pilihan raya pertama Presiden Afghanistan pada 2004. Setahun kemudian, kira-kira 12 juta rakyat Afghan mendaftarkan diri untuk mengundi dalam pilihan raya wilayah dan Parlimen, dengan 51.5 peratus pengundi keluar mengundi.

Pegawai Barat meramalkan peratusan yang keluar mengundi pada minggu ini boleh mencapai setinggi 60 peratus di sebelah utara yang agak aman, berbanding 40 peratus di selatan di mana ancaman Taliban boleh menyebabkan ramai pengundi enggan keluar mengundi.

Namun begitu, pada tahun ini rakyat Afghanistan dapat merasai suasana kempen pilihan raya yang sebenar. Calon-calon utama telah menarik sokongan beribu-ribu orang, menjanjikan keselamatan, pekerjaan dan pembangunan, menyertai perdebatan di televisyen, dan terbang dari kampung ke kampung.

Barisan calon utama yang bertanding terdiri daripada Presiden Hamid Karzai, yang mempertahankan jawatan, bekas Menteri Luar, Abdullah Abdullah, bekas Menteri Kewangan, Ashraf Ghani dan ahli Parlimen, Ramazan Bashardost.

"Saya akan memberi undi saya kepada calon yang berkhidmat kepada negara dan rakyat, sama ada dia Afghan, Uzbek atau Tajik. Semua orang sama bagi kami, Afghanistan ibarat sebuah keluarga.

"Saya akan mengundi untuk keamanan, untuk orang yang akan berbakti kepada negara ini. Buat masa ini, tiada calon yang betul-betul baik. Mereka menaburkan janji tetapi akhirnya gagal menunaikannya," kata seorang petani, Kamal-ud-Din, 75.

Ramai rakyat Afghan merasakan kewajipan mereka untuk menentukan nasib mereka sendiri dan berasa bangga kerana undi mereka dirahsiakan, tetapi nampak berbelah-bahagi tentang prospek masa depan, sama ada menyokong perubahan di bawah pimpinan Abdullah atau Ghani, atau meneruskan kesinambungan di bawah Karzai. - AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0819&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_04.htm

Monday, August 17, 2009

Perikatan Kontroversi Hamid Karzai

KABUL 17 Ogos - Perikatan kontroversi yang dijalinkan oleh Presiden Afghanistan, Hamid Karzai dengan ketua-ketua puak perang (warlords) dikecam hebat semalam semasa perdebatan pertama beliau di televisyen dengan para pencabar utama dalam pilihan raya Presiden minggu ini.

Calon yang lantang berkempen atas dasar antirasuah, Ramazan Bashardost dan bekas Menteri Kewangan, Ashraf Ghani membidas Karzai dalam perdebatan langsung selama 90 minit itu, kali pertama seorang Presiden Afghan menyertai acara sedemikian.

Perikatan tersebut yang dijangka boleh membawa kemenangan kepada Karzai dalam pilihan raya Khamis ini, mengecewakan ramai rakyat Afghan serta negara Barat yang menyokong kemajuan negara ini ke arah demokrasi berikutan serangan Amerika Syarikat (AS) pada 2001 yang menggulingkan rejim Taliban.

"Terdapat golongan yang mendakwa mereka memerangi ketua-ketua puak perang tetapi hari ini mereka memainkan peranan utama dalam kempen mereka, malah seorang daripadanya menjadi calon Naib Presiden pertama. Perkara ini tidak boleh diterima oleh rakyat Afghanistan," dakwa Bashardost.

Karzai memilih Mohammed Qasim Fahim, yang dituduh melakukan pelbagai pencabulan semasa perang saudara 1990-an, sebagai calon Naib Presiden pertamanya, selain memperoleh sokongan beberapa pemimpin etnik dan puak yang lain bagi tujuan mendapat undi penyokong mereka yang ramai.

''Sesiapa yang 'menindas' rakyat dalam konflik masa lalu, sama ada semasa menentang rejim komunis, semasa perang saudara dan semasa pemerintahan Taliban pada 1996-2001, 'tidak boleh diterima' sebagai calon,'' kata Bashardost.

Karzai pula mempertahankan sekutu-sekutunya itu, termasuk seorang ketua puak perang paling digeruni di negara ini, Jeneral Abdul Rashid Dostum, dengan berhujah bahawa perikatan tersebut adalah demi kepentingan perpaduan negara.

Dostum pulang ke tanah air semalam daripada kehidupan dalam buangan di Turki, setelah para penyokongnya mengancam untuk menarik balik sokongan terhadap Karzai jika jeneral keturunan Uzbek itu tidak dibenarkan kembali.

Presiden Afghan itu mengambil pendekatan 'khemah besar' dengan tujuan untuk menyatukan para panglima perang yang terlibat dalam perang saudara antara etnik yang memusnahkan Kabul pada 1990-an.

Bashardost bagaimanapun menolak hujah Karzai itu dengan berkata, perpaduan negara tidak boleh dijadikan alasan untuk menerima 'calon-calon paling teruk'.

Perdebatan itu meletakkan Karzai dalam kedudukan terpaksa berdepan dengan pengkritik beliau yang paling lantang dan beliau turut dikecam kerana menarik diri daripada perdebatan sebelum ini.

Ghani, seorang tokoh akademik yang berkempen menjanjikan pemerintahan bersih, kewujudan peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi, turut membidas perikatan Karzai itu dengan berkata: "Saya tidak mengikat sebarang perjanjian dengan mana-mana ketua puak perang, tidak memberi apa-apa jawatan sama ada di peringkat kementerian, gabenor atau lainnya kepada mereka."

Beliau dan Bashardost dianggap dua daripada pencabar utama Karzai pada hari pengundian kelak, apabila 41 nama disenaraikan sebagai calon pada kertas undi. Namun, calon yang dijangka memberi tentangan paling sengit kepada presiden, Abdullah Abdullah tidak hadir pada perdebatan semalam.

Karzai yang dijangka menang tetapi mungkin tidak dapat mengelakkan pengundian pusingan kedua, membalas kecaman lawannya.

"Jika demi kepentingan negara, demi kemajuan, demi perpaduan rakyat dan mengelakkan perang, terdapat keperluan untuk menjalinkan lebih banyak perikatan seumpama itu, saya akan melakukannya. Kalau seribu kali pun, saya akan melakukannya," tegas Presiden itu. - AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_04.htm

Isteri tolak seks dibiarkan kelaparan



BEBERAPA wanita Afghanistan menyertai rapat umum dalam kempen pilihan raya presiden di Kabul semalam.

KABUL - Satu rang undang-undang yang membenarkan seorang suami membiarkan isterinya yang menolak untuk melakukan hubungan seks dibiarkan berlapar kini dikuatkuasakan di Afghanistan, lapor sebuah akhbar semalam.

Rang undang-undang kontroversi itu berkuatkuasa pada 27 Julai lepas setelah melalui satu pindaan awal tahun ini.

Versi awalnya menyebut seorang suami tidak memerlukan persetujuan isterinya bagi mengadakan hubungan seks sekali gus membenarkan penggunaan paksaan.

Selain itu, rang undang-undang itu turut menyatakan si isteri perlu mengadakan hubungan seks dengan suami sekurang-kurangnya sekali setiap empat hari.

Undang-undang baru itu bertujuan mengawal kehidupan penduduk minoriti Syiah yang merangkumi 15 peratus daripada 30 juta rakyat Afghanistan. Presiden Afghanistan, Hamid Karzai dikecam oleh masyarakat antarabangsa kerana meluluskan undang-undang itu bagi meraih sokongan penduduk Islam mazhab Syiah dalam plihan raya presiden Khamis ini.

Satu tunjuk perasaan disertai sejumlah wanita diadakan di sini semalam bagi membantah undang-undang yang dianggap menekan kaum wanita itu. - Agensi

Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0818&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Sunday, August 16, 2009

Taliban ancam serang pusat undi

KANDAHAR: Pergerakan Taliban mengeluarkan ancaman menyerang pusat pengundian, meningkatkan lagi amaran kepada rakyat Afghanistan agar memulaukan pilihan raya Presiden Afghanistan minggu ini.

Ancaman itu terkandung dalam risalah dipasang dan ditaburkan di seluruh perkampungan selatan Afghanistan, disahkan seorang jurucakap Taliban dan dikeluarkan sehari selepas serangan bunuh diri di luar ibu pejabat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Kabul.

Kira-kira 17 juta rakyat Afghanistan yang layak mengundi, dijangka menunaikan tanggungjawab untuk memilih presiden bagi penggal kedua Khamis ini membabitkan 420 majlis wilayah yang terus-menerus diancam masalah keselamatan dan logistik.

Risalah itu menggunakan beberapa bahasa berlainan, merujuk kepada komander tempatan berbeza di wilayah yang menjadi kubu kuat Taliban di negara itu.

"Ini adalah untuk memberi makluman kepada penduduk bahawa anda tidak boleh menyertai pilihan raya bagi memastikan anda tidak menjadi mangsa operasi kami, kerana kami akan menggunakan taktik baru," kata satu risalah yang diedarkan di Kandahar.

Teks risalah dimulakan dengan surah al-Quran yang menggesa umat Islam agar tidak menjalin hubungan atau bekerjasama dengan musuh Islam.

Risalah terbabit ditandatangani Mullah Ghulan Haidar, komander operasi militan di Kandahar. Ia turut menyatakan bahawa pengundi, sebagai sekutu kerajaan Afghanistan dan pasukan keselamatan asing, akan dianggap sebagai musuh Islam.

"Semua orang sudah dimaklumkan bahawa anda tidak boleh menyewakan hartanah untuk dijadikan pusat mengundi dan jika sesiapa melakukannya, walaupun selepas pilihan raya, akan berdepan masalah," kata risalah itu. – AFP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Dunia/20090816232333/Article/indexworld_html

Taliban ancam gagalkan pilihan raya

KANDAHAR, Afghanistan 16 Ogos - Taliban hari ini buat pertama kalinya mengancam untuk menyerang stesen pembuangan undi Afghanistan, menggiatkan lagi usaha mereka untuk menggagalkan pilihan raya penting minggu ini selepas menyerang NATO di tengah bandar Kabul.

Ancaman itu dibuat di dalam risalah yang dihantar di kampung- kampung di selatan selain ketulenannya telah disahkan oleh seorang jurucakap Taliban yang memberitahu militan itu akan mempercepatkan kempen keganasannya pada malam pilihan raya.

Sebanyak 17 juta pengundi di negara itu akan keluar mengundi pada Khamis depan bagi memilih presiden untuk kali kedua selain memilih 420 ahli majlis daerah dalam satu operasi besar-besaran yang tahap keselamatan dan lokasinya masih tidak diketahui.

"Ini adalah bagi memberitahu semua penduduk bahawa kamu semua tidak boleh menyertai pilihan raya sekali gus mengelak diri daripada menjadi mangsa operasi kami, kerana kami akan menggunakan taktik baru," menurut satu risalah yang diedarkan di bandar Kandahar dan dibaca oleh AFP.

Surat itu telah ditulis oleh Mullah Ghulam Haidar, gerila yang juga komander operasi di bandar Kandahar.

Turut tertera di dalam surat itu, 'pengundi yang bersekutu dengan kerajaan Afghanistan dan kuasa-kuasa luar yang lain akan dianggap musuh Islam'.

"Semua orang telah diberitahu untuk tidak menyewakan tanah mereka untuk dijadikan pusat pembuangan undi, jika mereka masih berdegil, selepas pilihan raya mereka akan berdepan dengan masalah," jelas surat itu.

Jurucakap Taliban, Qari Yousuf Ahmadi mengesahkan bahawa risalah itu adalah tulen dan para komander telah memberi arahan kepada sekutunya untuk memboikot undi.

"Kami menggunakan taktik baru dengan menyasarkan pusat pilihan raya... Kami akan mempercepatkan aktiviti kami pada hari pilihan raya dan sehari sebelumnya," katanya kepada AFP.

"Saya tidak boleh mengulas mengenai taktik terbaru yang akan digunakan. Sasaran di stesen pembuangan undi bukan hanya di selatan tetapi di seluruh negara," tambahnya.

Risalah-risalah itu menunjukkan ancaman Taliban yang pertama untuk menyerang tapak pembuangan undi.

Lewat minggu lalu, Taliban telah mengarahkan pengundi-pengundi untuk memboikot pilihan raya dan menyertai barisan militan dalam perjuangan suci membebaskan Afghanistan. - AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0817&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_07.htm

Saturday, August 15, 2009

7 maut, 100 cedera



API daripada kesan serangan bom kereta Taliban di pintu masuk ibu pejabat tentera Nato, semalam.

# Taliban ledak 500kg bom di pintu masuk ibu pejabat tentera Nato
# Taliban beri mesej boleh menyerang di mana saja

KABUL: Tujuh maut dan hampir 100 lagi cedera selepas penyerang Taliban melakukan serangan bom kereta berhampiran pintu masuk utama ibu pejabat tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), di sini, semalam.

Mangsa yang berlumuran darah dan cedera dilihat di jalan raya dekat lokasi serangan, termasuk kanak-kanak yang berkeliaran di pintu masuk pejabat tentera Nato untuk menjual barangan dalam kejadian kira-kira jam 8.35 pagi wak tu tempatan.

Tingkap kedai antik berhampiran berselerakan, selain tompokan darah dapat dilihat di merata tempat dalam serangan terbesar di ibu negara Afghanistan itu dalam tempoh enam bulan lalu.

Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid, mendakwa pergerakannya bertanggungjawab atas serangan bom berkenaan yang dianggarkan membabitkan kira-kira 500 kilogram bahan letupan.

Kapten Elizabeth Mathias, jurucakap Amerika bagi misi Nato berkata, letupan berlaku berhampiran pintu masuk Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa Nato.


KEADAAN di ibu pejabat tentera Nato selepas serangan.

Kenderaan membawa bom itu melepasi dua pos kawalan sebelum penyerang menghampiri satu lagi pos pemeriksaan anggota keselamatan bersenjata berat yang menahannya.

Pegawai berkata, penyerang bunuh diri itu mungkin memutuskan untuk meletupkan bom ketika perjalanannya disekat tentera.

"Saya sedang minum teh di pejabat apabila satu letupan besar berlaku," kata Abdul Fahim yang cedera di kaki.

"Saya meniarap dan melihat ramai mangsa yang cedera, termasuk polis dan penduduk awam," katanya.

Pengebom yang meletupkan bahan letupan di pintu masuk misi ketenteraan antarabangsa berkenaan dipercayai cuba memberi mesej bahawa anggota Taliban boleh menyerang di mana saja tempat yang mereka mahu.

Pejabat Nato berkenaan yang memantau 100,000 pengaman antarabangsa turut menempatkan pejabat operasi komander tertinggi tentera Amerika, Jeneral Stanley McChrustal dan menjadi laluan untuk ke istana presiden.

Ibu pejabat Nato mempunyai blok simen dan pintu pagar besi bagi menghalang orang ramai mendekati pintu masuk dan pengebom tidak dapat memecahkan halangan berkenaan. Kementerian Pengangkutan Afghanistan pula berada di seberang jalan dari pejabat Nato. - AFP/Agensi

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/BeritaUtama/20090815230634/Article

Pejabat Nato dibom: 7 mati



CARI SOKONGAN... penduduk Kabul berjalan melintasi poster penyanyi, Farida Tarana, menjelang pemilihan presiden pada Khamis ini.

KABUL: Seorang pengebom berani mati meledakkan dirinya bersama kenderaan sarat dengan bahan letupan di depan pintu utama Ibu Pejabat Nato, semalam menyebabkan kematian sekurang-kurangnya tujuh maut dan 91 cedera.

Ia dianggap serangan paling buruk di Kabul dalam tempoh enam bulan.

Sumber berkata, lelaki terbabit berjaya mengelak beberapa sekatan polis tempatan sebelum menekan suis peledak di pintu utama bangunan berkenaan.

Pemerhati berkata, insiden itu mungkin mesej Taliban untuk membuktikan mereka masih mampu bertindak di mana-mana lokasi dalam Afghanistan menjelang pilihan raya presiden minggu depan.

Kumpulan itu beberapa kali memberi amaran supaya orang ramai jangan keluar mengundi dalam pilihan raya pada Khamis ini.

Keadaan itu memaksa sukarelawan asing memikirkan untuk bekerja dari rumah untuk beberapa hari atau meninggalkan Afghanistan untuk sementara waktu.

Mangsa yang cedera dilihat berlari-lari dari itu sebelum dibantu kakitangan perubatan dan membawa mereka ke hospital berhampiran.

Taliban mengaku bertanggungjawab atas serangan itu dan mengesahkan sasaran sebenar adalah Ibu Pejabat Nato serta Kedutaan AS yang terletak kira-kira 150 meter dari itu. - AP

Sumber: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Global/20090816065722/Article/index_html