Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Tuesday, July 28, 2009

Karzai tawar Taliban berunding

KABUL 28 Julai - Presiden Hamid Karzai menawarkan rundingan damai dengan puak Taliban sekiranya kumpulan itu bersedia menolak keganasan dan membina perhubungan baru dengan negara Barat, jika dia memenangi penggal kedua pilihan raya Presiden pada bulan depan.

Karzai dianggap sebagai calon popular dalam pilihan raya Presiden Afghanistan pada 20 Ogos ini. Bagaimanapun peluangnya bergantung kepada kaum Pashtun di kawasan selatan dan timur yang bergolak, lokasi di mana tentera AS dan Britain paling ramai mati dalam perang selama lapan tahun di Afghanistan.

Daripada 39 calon, satu-satunya calon yang memberi saingan kuat kepadanya dipercayai datang daripada bekas Menteri Luar, Abdullah Abdullah, yang mampu menarik undi sekiranya kekurangan jumlah pengundi Pashtun, kumpulan etnik terbesar negara ini.

Dalam satu temu ramah dengan AP di pejabatnya, Karzai mahu mendekati puak Pashtun yang tidak puas hati, menyeru kepada dialog dengan anggota Taliban yang tidak terlibat dengan al-Qaeda serta bersedia untuk menolak keganasan dan 'mengumumkannya secara terbuka'. - AP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0729&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_13.htm

Sunday, July 26, 2009

Taliban tingkat serangan di Afghan

KABUL 26 Julai - Serangan Taliban yang semakin meningkat dan korban anggota tentera Barat yang melonjak meletakkan Afghanistan dalam keadaan tegang, kurang sebulan sebelum pilihan raya penting yang dikhuatiri akan dibayangi keganasan.

Pilihan raya Presiden pada 20 Ogos ini, yang kedua dalam sejarah Afghanistan, dilihat sebagai ujian getir dalam kempen diketuai Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sejak hampir lapan tahun lalu untuk menstabilkan negara ini sejak penggulingan rejim Taliban pada 2001.

Beribu-ribu askar asing terutamanya dari AS membanjiri selatan Afghanistan dalam kerahan terbaru untuk cuba menawan semula kubu-kubu kuat Taliban, tetapi membawa kepada lonjakan kematian askar asing yang mencetuskan protes di negara-negara Barat.

Keganasan merebak di timur dan utara, manakala serangan bersepadu pengebom berani mati di tiga bandar Afghan membunuh enam orang pada minggu lepas, sekali gus menonjolkan kelemahan kerajaan untuk mengawal keadaan keselamatan menjelang pilihan raya Presiden di negara ini.

"Masalah keselamatan yang besar timbul semula di selatan dan timur Afghanistan," kata Haroun Mir, penganalisis daripada Pusat Penyelidikan dan Kajian Dasar Afghanistan di Kabul.

Menurut beliau, serangan pengebom berani mati di Paktia dan Jalalabad menjadi petanda bahawa memang ada anasir al-Qaeda atau Taliban yang mahu menggendalakan pilihan raya.

Laman web bebas, www.icasualties.org yang menghitung korban jiwa tentera di Iraq dan Afghanistan mencatatkan 67 kematian askar asing setakat ini pada bulan ini, iaitu angka kematian tertinggi tentera asing dalam satu-satu bulan sejak tentera AS melancarkan perang untuk menggulingkan rejim Taliban berikutan serangan 11 September, 2001 di AS.

Pertempuran yang paling banyak meragut nyawa dihadapi oleh askar Britain, ketika tercetus perbahasan hangat di Britain berhubung isu kekurangan peralatan dan helikopter yang dialami oleh tentera negara itu, manakala kematian askar AS juga pada paras tertinggi pada bulan ini.

Buat masa ini terdapat kira-kira 90,000 askar asing terutamanya dari AS, Britain, Kanada yang ditempatkan di Afghanistan dalam misi untuk membawa kestabilan di negara ini, dan ramai lagi askar tambahan dibawa masuk untuk cuba menguasai kawasan bergolak menjelang pilihan raya di Afghanistan.

Kira-kira 4,000 askar marin AS dan 3,000 askar Britain dengan bantuan beratus-ratus askar Afghan bertempur dengan pejuang Taliban di kubu kuat mereka di selatan sejak berminggu-minggu lalu.

Namun, di kawasan yang ditawan baru-baru ini oleh tentera asing pun, pegawai bimbang masa semakin suntuk untuk menjalankan persiapan bagi mengadakan pilihan raya Presiden dan wilayah yang akan diadakan serentak pada 20 Ogos ini.

"Kawasan ini telah lama dikuasai oleh Taliban. Kami kesuntukan masa. Kami sepatutnya melancarkan operasi ini setahun lalu.

"Saya fikir sukar untuk penduduk pergi ke pusat pengundian, terutamanya di kawasan yang bergolak," kata Menteri Antidadah Afghan, Jeneral Khodaidad semasa lawatan ke daerah Garmsir, di wilayah Helmand. - AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm

7 serangan bunuh diri

KHOST: Tujuh penyerang bunuh diri cuba meletupkan bom di sekitar bandar timur Afghanistan di sini, semalam, menyebabkan seorang maut dan beberapa lagi cedera dalam serangan ketiga Taliban dalam tempoh seminggu.

Serangan itu menunjukkan kelemahan kerajaan Presiden Hamid Karzai kurang empat minggu sebelum pilihan raya umum, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keselamatan ketika undian.

Pegawai berkata, kebanyakan penyerang meletupkan bom sebelum berada di sasaran di beberapa tempat di Khost, dekat sempadan Pakistan.

“Semua penyerang dikenal pasti dan ditembak sebelum berada pada lokasi sasaran,” katanya.

Tiga penyerang cuba meletupkan bom di depan ibu pejabat polis, manakala seorang lagi di belakang bangunan itu.

Gabenor Khost, Hamidullah Qalandarzai, berkata penyerang berpakaian sebagai militia yang beroperasi bersama tentera asing. - AFP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dunia/20090726082124/Article/index_htm

Tuesday, July 21, 2009

Militan serang timur Afghanistan



ASKAR Amerika berkawal di Lembah Pesh, wilayah Kunar Afghanistan, semalam.
15 pejuang Taliban letup bangunan kerajaan di dua bandar, enam terbunuh

KABUL: Pejuang Taliban menyerang beberapa bangunan kerajaan di dua bandar di timur Afghanistan semalam dalam operasi canggih yang membunuh enam orang dan mengejutkan pasukan keselamatan.

Polis berkata, mereka menembak mati dua orang penyerang bunuh diri yang memakai pakaian burka wanita.

Seorang jurucakap Taliban mendakwa seramai 15 orang pejuang – semuanya memakai baju bom – terbabit dalam serangan ke atas Gardez, wilayah Paktia yang dilakukan kira-kira jam 11 pagi waktu tempatan.

Pegawai kerajaan berkata, antara bangunan yang menjadi sasaran ialah pekarangan pejabat Gabenor, pejabat unit risikan dan ibu pejabat polis.

Pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) menyerang balas, tetapi masih tidak dapat dipastikan sama ada mereka terbabit dalam sebarang pertempuran, kata jurucakapnya, Kapten Elizabeth Mathias. Beliau berkata, pejuang Taliban menyerang pekarangan pejabat gabenor dengan pistol dan senjata lain.

Jurucakap Taliban itu, Zabiullah Mujahid, memberitahu The Associated Press, seramai 15 pejuang berpakaian baju bunuh diri yang sarat dengan bahan letupan melancarkan serangan ke atas Gardez. Mereka turut membawa raifal AK-47 dan roket.

Seorang pegawai di Kabul berkata bangunan jabatan risik dan polis di Gardez juga diserang.

Sementara itu, dua lagi pengebom bunuh diri ditembak mati oleh polis di Jalalabad ketika mereka cuba memasuki lapangan terbang bandar itu, kata jurucakap kerajaan wilayah, Ahmad Zia Abdulzai.

Jalalabad dan Paktia banyak menyaksikan serangan pejuang Taliban.

Pejuang Taliban sejak tahun lalu melancarkan beberapa serangan canggih membabitkan beberapa penyerang bunuh diri dan pasukan bersenjata.

Operasi sedemikian pernah dilancarkan di Kabul dan Kandahar.

Penganalisis berkata, kumpulan al-Qaeda mungkin bertanggungjawab memberi latihan kepada Taliban .

Serangan terakhir seumpama itu dilancarkan Mei lalu terhadap Khost, juga di timur Afghanistan, membabitkan 11 penyerang bunuh diri yang menyerang bangunan kerajaan, mencetuskan pertempuran dengan askar Amerika Syarikat dan Afghanistan. Seramai 20 orang termasuk terkorban dan tiga askar Amerika cedera dalam serangan itu. – AP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Dunia/20090722013551/Article/indexworld_html

Wednesday, July 15, 2009

Taliban tembak helikopter bantuan


Sebuah lori tangki Pakistan yang membawa minyak untuk keperluan NATO terbakar selepas diserang oleh militan di Peshawar, Pakistan, semalam. - AP

KABUL 15 Julai - Sebuah helikopter pengangkut bantuan kemanusiaan telah ditembak jatuh oleh puak militan di wilayah selatan Afghanistan, yang merupakan kawasan pemberontakan Taliban.

Menurut seorang pegawai, pertempuran antara tentera Amerika Syarikat (AS) dan Taliban telah menyebabkan kesemua enam krew rakyat Ukraine terbunuh dan seorang kanak-kanak turut maut di darat.

Tiga tentera AS dan seorang askar Itali terbunuh dalam pertempuran baru-baru ini.

Helikopter pengangkut itu terhempas selepas terbakar di udara semalam di Sangin, wilayah Helmand, pusat penanaman candu di Afghanistan dan tempat ribuan anggota Marin AS menjalankan serangan terbesar ke kubu kuat Taliban sejak Taliban digulingkan pada tahun 2001.

Menurut pegawai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Kabul, punca nahas masih dalam siasatan dan tidak dapat memberi butiran lanjut.

Tetapi pihak berkuasa penerbangan awam Moldova berkata, sebuah roket atau peluru berpandu dilancarkan ke arah helikopter Mi-26, milik syarikat sewa khas Pecotox-Air.

"Nahas itu berlaku ke atas helikopter yang membawa bantuan kemanusiaan," kata pihak berkuasa Moldova dalam satu kenyataan.

Taliban telah mengeluarkan satu kenyataan dalam laman webnya mendakwa helikopter telah ditembak dengan tembakan antipesawat yang 'membawa 37 askar Britain'.

Pihak berkuasa Moldova dan Britain berkata, tiada tentera Britain yang berada dalam helikopter tersebut.

Jurucakap gabenor Helmand, Daud Ahmadi berkata, seorang kanak-kanak berumur enam tahun yang berada di darat turut terbunuh.

"Nahas itu berlaku kira-kira satu kilometer dari satu pangkalan utama tentera Britain," kata seorang pegawai kanan tempatan, Fazel Haq. - AP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_13.htm

Saturday, July 11, 2009

Tentera AS sukar kuasai Helmand


Periuk api tepi jalan ditanam pejuang Taliban masalah utama anggota Marin

MARIN Amerika tidur di 'lubang pertempuran' dalam kawasan bekas kediaman penduduk di daerah Nawa, wilayah Hemand.

KOSHTAY: Anggota Marin Amerika Syarikat yang dikerah menguasai wilayah Helmand, mendapati mereka sukar menewaskan pejuang Taliban berikutan kumpulan itu amat mahir dengan selok-belok dan landskap tempatan.

Pejuang Taliban juga pakar memasang periuk api, diletupkan dengan pemicu yang ditarik menggunakan wayar biasa atau plet tekanan dan amat berkesan bagi membunuh tentera asing itu yang dianggap penjajah.

Keupayaan menguasai Helmand dianggap penting berikutan kebanyakan pendapatan daripada pengeluaran candu yang ditanam di wilayah itu digunakan untuk membiayai pemisah, selain menjadi laluan selamat untuk pejuang lari ke Pakistan

Presiden Amerika Barack Obama melancarkan operasi besar-besaran di wilayah itu awal bulan ini, dengan menghantar 4,000 anggota marin ke kawasan yang gagal dikuasai tentera Britain dalam pakatan sejak 2001.

Misi Batalion Kejuruteraan Tempur Pertama untuk membersihkan jalan daripada ancaman menggunakan kereta perisai, terbukti sukar, apabila terpaksa 'berkurung' dalam kenderaan masing-masing sepanjang malam berikutan bimbang tindakan balas pejuang.

Operasi konvoi ke-10 yang cuba membuka sebatang jalan utama di selatan Helmand gagal, apabila letupan demi letupan bahan periuk api yang diubah suai, (IED) menyebabkan mereka terkandas selama berhari-hari.

Masalah anggota Marin yang diturunkan di wilayah Taliban dari udara semakin buruk, apabila jalan terhalang kerana lebih banyak IED dipasang pejuang setiap malam, menyebabkan bekalan diperlukan tidak diperoleh sejak 2 Julai lalu.

Perjalanan dari Kem Delhi di daerah Garmsir ke kedudukan pasukan infantri di Mian Poshteh, hanya kira-kira 30 kilometer, malangnya konvoi yang terbabit dengan kerja membersihkan laluan masih jauh dari destinasi mereka, meskipun bertungkus-lumus selama 72 jam.

Wartawan AFP yang bersama anggota Marin itu melaporkan letupan pertama IED sebelah tengah hari Rabu lalu, merosakkan alat pemusnah periuk api yang dibawa dan digunakan konvoi itu.

Kejadian ini adalah permulaan kepada siri letupan bom dan kegagalan logistik sekali gus mendedahkan tentera Amerika dengan taktik perang gerila Taliban, di kawasan cerun lembah Sungai Helmand.

Letupan menyebabkan alat pemusnah periuk api itu berkecai, manakala kenderaan kalis periuk api dan tahan serang hendap (MRAP) 17,000 kilogram yang membawanya, hampir terbalik di tepi jalan.

"Tiba-tiba semua jadi gelap dan kami jatuh. Saya menyelamatkan diri melalui sebuah lubang," kata Prebet Donnie Hamiliton.

MRAP adalah kenderaan baru tentera dikatakan berupaya menyelamatkan nyawa askar, tetapi ia terlalu berat sehingga alat khas digunakan untuk membetulkan semula kedudukannya. - AFP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dunia/20090711235902/Article/indexworld_html

Wednesday, July 8, 2009

14 lagi askar AS di Afghanistan hidap H1N1

KABUL: Kira-kira 14 kes terbaru selesema babi dilaporkan di kalangan warga Amerika Syarikat di pangkalan utama tentera AS di Afghanistan, kata Kementerian Kesihatan Afghan.

“Dalam masa beberapa hari lalu, 14 kes virus H1N1 dilaporkan dan semua penghidap dirawat dan sudah sembuh serta kembali bekerja,” kata jurucakap kementerian, Farid Raaid.

Raaid berkata kementerian berkenaan dimaklumkan mengenai empat kes virus itu yang disyaki di Bagram tapi duta AS semalam memberitahunya keseluruhannya ada 14 kes yang disahkan.

Kes pertama di Afghanistan dilaporkan kira-kira tiga bulan lalu, kata Raaid, apabila seorang warga asing menunjukkan tanda-tanda selesema tapi kemudian kembali ke negara asalnya.

Bagram adalah pangkalan udara tentera AS yang menjadi pusat beribu-ribu askar AS dan antarabangsa serta beberapa ratus kakitangan awam. - Reuters

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Dunia/20090709054040/Article/indexworld_html