Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Saturday, January 30, 2010

Nato patah serangan bunuh diri



TENTERA Afghanistan membantu rakan mereka yang cedera akibat pertempuran dengan Taliban di Helmand, semalam. - AFP
Askar Afghanistan dibantu helikopter bunuh enam militan di wilayah Helmand

KANDAHAR: Pasukan keselamatan Afghan yang dibantu helikopter Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) mematahkan serangan pejuang Taliban yang bersenjatakan mesingan dan vest bunuh diri di sebuah bangunan di Lashkar Gah semalam.

Enam militan terbunuh dan enam anggota keselamatan kerajaan cedera dalam kejadian di ibu negeri wilayah Helmand itu. Kejadian berkenaan berlaku hampir dua minggu selepas serangan hampir sama di ibu negara Afghanistan, Kabul.

Menurut pegawai, serangan kelmarin bermula pada jam 10 pagi ketika pemberontak melepaskan tembakan dari sebuah hotel sedang dalam pembinaan berhampiran berek tentera. Nato berkata askar Afghan yang dibantu helikopter berjaya menguasai kumpulan bersen-jata itu di bangunan empat tingkat yang kosong itu.

Pertempuran berlangsung selama lebih tujuh jam dengan kedua-dua pihak melepaskan tembakan dengan senjata berat mesingan dan bom tangan dilancarkan roket.

Pemilik kedai mengosongkan pasar berhampiran dan jalan raya di kawasan berdekatan lengang selepas pihak berkuasa mengarahkan penduduk supaya tidak keluar dari rumah.
"Saya berada di dalam kedai apabila terdengar bunyi kuat akibat pertempuran itu," kata Haji Mohammad Karim.

"Kami tutup semua kedai dan balik ke rumah. Bandar ini seperti bandar hantu. Hanya ada anggota keselamatan di jalan raya."

"Jika pertempuran seperti ini berterusan, macam mana hendak kami menjalankan perniagaan?" ujarnya.

Timbalan gabenor wilayah, Abdul Sattar Mirzekwal berkata dua daripada penyerang terbabit meletupkan diri mereka sendiri manakala empat yang lain dijumpai dalam kesan runtuhan dengan banyak kesan peluru di badan mereka. Pasukan keselamatan melaporkan kecederaan empat askar dan dua anggota polis.
Jurucakap Taliban, Qari Yousef Ahmadi mendakwa bertanggungjawab bagi serangan itu, dan menyatakan Taliban menghantar tujuh orang dilengkapi senjata

dan vest bunuh diri serta mesingan bagi menyerang cawangan misi PBB di Afghanistan dan rumah tetamu yang digunakan pegawai kerajaan di bandar raya berkenaan.

Qari Yousef berkata, 20 orang asing terbunuh dan cedera, tetapi pegawai Afghan berkata tiada kematian dilaporkan selain militan.

Daoud Ahmadi, jurucakap kerajaan wilayah, berkata pihak pegawai menerima maklumat sejak beberapa hari lalu bahawa Taliban merancang untuk menyerang bangunan kerajaan di Lashkar Gah. � AP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dunia/20100130222840/Article/indexworld_html

Thursday, January 7, 2010

Al-Qaeda balas dendam kematian pemimpin


Militan dedah identiti penyerang bunuh tujuh ejen CIA


KABUL: Pergerakan al-Qaeda semalam mengakui serangan bom terhadap markas Agensi Perisikan Pusat (CIA) di Afghanistan menyebabkan tujuh ejennya maut adalah langkah membalas dendam kematian dua pemimpin kanannya dalam serangan pesawat kawalan jauh Amerika Syarikat.

Dalam serangan bunuh diri itu, seorang doktor keturunan Jordan yang dikatakan ejen bagi tiga pihak, meletupkan bom di pangkalan berkenaan di Khost berhampiran sempadan Pakistan pada 30 Disember lalu.

Badan pemantau, SITE, memetik ketua al-Qaeda di Afghanistan, Mustafa Abu al-Yazid, sebagai berkata pengebom terbabit menulis dalam wasiatnya bahawa serangan itu adalah tindakan membalas dendam untuk 'pemimpin tertinggi kami yang mati syahid.'

Beliau juga menamakan beberapa pemimpin tertinggi pergerakan itu yang terkorban dalam serangan pesawat kawalan jauh itu di Pakistan.

Mustafa menyifatkan misi pengebom terbabit, Humam Khalil Abu-Mulal al-Balawi sebagai 'satu kejayaan' kerana gagal dikesan perisikan Amerika dan Jordan, menurut kenyataan yang diterbitkan SITE di Amerika.
Beliau berikrar, al-Qaeda akan terus melawan Amerika sehingga 'ramai mati dan cedera.'

Antara pemimpin tertinggi al-Qaeda terkorban adalah Baitullah Mehsud, pemimpin Taliban di Pakistan yang dituduh melakukan beberapa serangan, termasuk pembunuhan bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto pada Disember 2007.

Mehsud terbunuh ketika peluru berpandu Amerika mengenai rumah bapa mentuanya pada 5 Ogos tahun lalu.

Seorang lagi ialah Abu Saleh al-Somali, yang dianggap sebagai antara pemimpin teras al-Qaeda dan bertanggungjawab merancang serangan di Eropah dan Amerika.
Dia maut dalam serangan pesawat kawalan jauh di Waziristan Utara pada Disember tahun lalu.

Media di Amerika menyifatkan pangkalan Khost itu sebagai markas antikeganasan CIA yang mengendalikan serangan pesawat kawalan jauh yang mensasarkan al-Qaeda dan Taliban di sempadan Pakistan. - AFP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Dunia/20100107233907/Article/indexworld_html

Kanak-kanak korban terbesar dalam konflik di Afghanistan






KANAK-KANAK Afghanistan memerhatikan gerak-geri seorang askar Marin AS semasa meronda pekan Delaram di wilayah Nimroz, selatan Afghanistan, kelmarin.– REUTERS





KABUL 7 Jan. – Kanak-kanak merupakan kelompok mangsa peperangan terbesar di Afghanistan dengan lebih 1,050 orang di bawah umur 18 tahun terbunuh pada tahun lepas sahaja, menurut jawatankuasa pemerhati hak asasi manusia negara bergolak itu.
Puak militan yang berkaitan dengan Taliban telah menyebabkan sekitar 64 peratus kematian kanak-kanak yang tidak berdosa tahun lepas, menurut Afghanistan Rights Monitor (ARM) dalam satu laporan.
Kanak-kanak juga turut didesak dan dieksploitasi secara seksual, mengalami kekurangan dari aspek kesihatan dan pendidikan, dan ditahan secara haram oleh semua pihak dalam peperangan yang mengheret sehingga sembilan tahun lamanya sejak Amerika Syarikat (AS) memimpin serangan ke atas rejim Taliban. “Sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak terbunuh dalam insiden berkaitan peperangan setiap hari dalam tahun 2009 dan kebanyakan yang lain menderita dalam pelbagai cara lain yang tidak dilaporkan,” menurut pengarah ARM, Ajmal Samadi.

Golongan kanak-kanak turut terkorban dalam serangan berani mati dan pengemboman di tepi jalan dalam serangan Taliban ke atas AS, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan pasukan tentera Afghanistan yang menentang peningkatan puak pemberontak yang berkembang di seluruh negara miskin itu. Taliban dilaporkan sengaja memberi lebih ancaman dan mendera lebih ramai kanak-kanak untuk tujuan yang menyalahi undang-undang berbanding terhadap rakyat Afghanistan yang pro-kerajaan dan pasukan tentera antarabangsa,” menurut laporan itu.

“Melalui polisi anti-pendidikan dalam serangan kejam, ugutan dan keganasan yang dilakukan oleh pemberontak itu telah menyebabkan ratusan kanak-kanak, lelaki dan perempuan kekurangan dari aspek pendidikan dengan kebanyakannya di daerah selatan dan timur negara yang tidak selamat,” katanya.
Menurut Samadi, sebaliknya, kerajaan yang disokong oleh Barat telah gagal untuk memperkenal atau melaksanakan undang-undang untuk melindungi kanak-kanak daripada kekejaman peperangan atau membawa penjenayah dan pesalah undang-undang ke muka pengadilan.

ARM telah memaklumkan kepada pihak berkuasa Afghanistan supaya menyediakan sebuah badan perlindungan rasmi kanak-kanak dan berinteraksi dengan majlis peperangan berhubung hak kanak-kanak.
Laporan oleh ARM itu, iaitu sebuah jawatankuasa pemerhati hak kebebasan yang ditubuhkan di Kabul pada tahun 2008, dibuat selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan kematian penduduk awam di Afghanistan meningkat kepada 10.8 peratus dalam tempoh 10 bulan terawal tahun lepas yang kebanyakannya dilakukan oleh puak Taliban. – AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm

Tuesday, January 5, 2010

Perisikan tidak berkesan


SEORANG anggota Tentera Kebangsaan Afghanistan (ANA) berkawal di lembah Alah Say di wilayah Kapisa di Afghanistan, kelmarin. - AFP


KABUL 5 Jan. - Lapan tahun melalui peperangan, komuniti perisikan Amerika Syarikat (AS) 'tidak begitu relevan' dalam keseluruhan misi di Afghanistan, demikian menurut seorang pegawai perisikan kanan untuk sebuah pasukan antarabangsa dalam laporan yang disiarkan kurang seminggu selepas lapan anggota Agensi Perisikan Pusat (CIA) terbunuh dalam serangan berani mati.

Dalam penilaian berbisa mengenai tugas perisikan AS di Afghanistan, Mejar Jeneral Michael Flynn berkata, pegawai perisikan AS dan penganalisis tidak banyak melakukan apa-apa kecuali memberi maklum balas kepada pembuat keputusan yang mahukan pengetahuan, analisis dan maklumat yang diperlukan untuk membanteras pemberontakan.

Laporan setebal 26 muka surat yang disiarkan semalam oleh badan pemikir, Pusat Keselamatan Amerika Baru di Washington, menyarankan perubahan besar supaya komuniti perisikan memberi tumpuan kepada rakyat Afghanistan dan mengurangkan perhatian terhadap musuh.
Oleh kerana AS memberi tumpuan kepada kumpulan pemberontak, rangkaian perisikan gagal menyelesaikan persoalan penting mengenai situasi yang dihadapi askar di medan tempur, demikian menurut Flynn dan dua orang penasihat keselamatan.

"Komuniti perisikan AS hanya sedikit relevan dalam strategi keseluruhannya," kata mereka lagi.
Laporan itu menjelaskan, pegawai perisikan As dan penganalisis 'tidak menghiraukan ekonomi tempatan dan pemilik tanah, kabur tentang siapa yang berkuasa dan bagaimana mempengaruhi mereka, tidak peduli tentang hubungan antara pelbagai projek pembangunan... dan mengasingkan diri dari orang ramai dalam keadaan terbaik mencari jawapan'.

"Perkakasan perisikan yang meluas gagal menjawab persoalan asas tentang persekitaran yang dihadapi tentera AS dan perikatan dan pihak yang perlu mereka pengaruhi," demikian menurut laporan itu lagi.
Penilaian buruk terhadap perisikan AS di Afghanistan ini dibuat selepas insiden serangan berani mati 30 Disember lalu di Camp Chapman, pangkalan CIA yang dikawal ketat di wilayah Khost, timur Afghanistan. - AP

Sumber: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm

Sunday, January 3, 2010

Karzai terus terima tamparan

KABUL 3 Jan. – Presiden Afghanistan, Hamid Karzai mengalami tamparan terbaru apabila Parlimen menolak kebanyakan calon untuk menganggotai Kabinet baru beliau, termasuk satu- satunya calon wanita dan seorang panglima perang.

Hanya tujuh daripada 24 calon diluluskan oleh lebih 200 ahli Parlimen dalam undi rahsia di sini semalam, menjerumuskan semula Afghanistan ke dalam situasi politik tidak menentu, hanya beberapa minggu sebelum satu persidangan antarabangsa mengenai masa depan Afghanistan, negara yang dilanda peperangan ini, dijadual diadakan.

“Daripada 24 calon Kabinet yang dikemukakan kepada Parlimen, tujuh berjaya mendapat undi kepercayaan anda,” kata Speaker Parlimen, Mohammad Yunus Qanoni, selepas pengiraan selesai.
Senarai Kabinet Karzai itu dilihat oleh kuasa Barat yang menyokongnya sebagai ujian terhadap komitmen beliau untuk membentuk sebuah kerajaan yang bersih dan boleh dipertanggungjawabkan serta membasmi rasuah yang membelenggu negara ini yang membantu memarakkan pemberontakan Taliban.
Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang menghantar tentera untuk memerangi Taliban telah menegaskan bahawa bantuan berbilion dolar yang mereka salurkan kepada Afghanistan kini bergantung kepada tindakan tegas Karzai untuk memerangi rasuah.

Antara calon yang ditolak ialah panglima perang, Ismail Khan, yang pencalonannya dilihat sebagai ganjaran kerana menyokong Karzai semasa pilihan raya Presiden yang penuh kontroversi pada Ogos lalu.
Turut ditolak ialah satu-satunya calon wanita, Husn Banu Ghazanfar yang merupakan Menteri Hal-Ehwal Wanita dalam kerajaan sekarang.

Karzai berharap Kabinet barunya itu dapat diluluskan sebelum persidangan antarabangsa di London pada 28 Januari ini bagi membincangkan masa depan negara ini. – AFP

Sumber:http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_07.htm

Friday, January 1, 2010

AS siasat 7 pegawai CIA maut


WASHINGTON/KABUL 1 Jan. - Agensi Perisikan Pusat (CIA), semalam melancarkan siasatan berhubung pelanggaran kawalan keselamatan yang membolehkan serangan kedua paling berdarah dalam sejarah agensi itu berlaku apabila tujuh pegawainya maut dalam serangan pengebom berani mati di Afghanistan.

Pergerakan Taliban mendakwa pengebom berkenaan ialah seorang penyokongnya daripada tentera Afghan yang meletupkan bahan letupan pada badannya semasa satu pertemuan dengan pegawai CIA, kelmarin.
Turut terbunuh ialah seorang rakyat Afghan, manakala enam kakitangan CIA yang lain cedera.
"Serangan maut itu dilakukan oleh seorang anggota tentera Afghan yang gagah berani," kata jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid.

Presiden Barack Obama dalam suratnya kepada kakitangan CIA berkata, beliau meratapi kematian mereka yang 'berkhidmat dalam bayang-bayang' itu.
Angka kematian pegawai CIA itu adalah yang tertinggi dialami oleh agensi tersebut sejak lapan kakitangannya terkorban dalam satu letupan bom di Kedutaan AS di Beirut pada 1983.
Turut terbunuh kelmarin ialah ketua pangkalan CIA berkenaan, menurut seorang bekas pegawai perisikan.
"Kami memang menjangka akan kehilangan ejen tetapi kehilangan begitu ramai secara serentak menjadi kejutan bagi seluruh agensi ini dan sangat membimbangkan," katanya.
Letupan itu berlaku dalam Pangkalan Operasi Barisan Hadapan Chapman, sebuah pangkalan yang dikawal ketat di wilayah Khost, dekat sempadan tenggara dengan Pakistan, di mana CIA memperhebatkan operasi untuk memerangi pemberontak Taliban.

Serangan tersebut menunjukkan keupayaan Taliban untuk membolosi benteng kawalan musuhnya ketika keganasan sudah memuncak sejak rejim Taliban digulingkan oleh tentera AS dan sekutunya pada 2001.
Kementerian Pertahanan Afghan, bagaimanapun menyangkal dakwaan Taliban bahawa seorang askar Afghan terlibat dalam serangan itu. - Reuters

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm