Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Sunday, February 22, 2009

Jeneral AS siasat kematian penduduk awam

KABUL 22 Feb. - Seorang pegawai tentera berpangkat jeneral dari Amerika Syarikat (AS) akan dihantar ke negara ini bagi menjalankan siasatan berhubung 13 penduduk awam, termasuk tiga orang disyaki militan terbunuh dalam serangan udara tentera AS, di sini baru-baru ini.

Serangan udara ke atas penduduk awam menjadi isu utama pertelingkahan antara AS dan Presiden Afghanistan, Hamid Karzai yang meminta operasi tentera udara AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tidak mensasarkan ke atas penduduk awam di negara ini.

Menurut kenyataan tentera AS semalam, keputusan untuk menghantar pegawai itu ke wilayah barat Afghanistan di Herat bagi menjalankan siasatan mengenai kejadian itu dan menunjukkan komitmen AS ke atas keselamatan penduduk awam di negara ini.

AS jarang menyiarkan hasil siasatan berhubung kematian melibatkan penduduk awam, dan hari ini membuat pendedahan umum mengenai isu berkenaan selepas menerima pelbagai kritikan daripada Karzai.

Tentera AS memaklumkan bahawa 15 orang disyaki militan terbunuh pada Selasa lalu dalam operasi ketenteraan di daerah Gozara, wilayah Herat.

Bagaimanapun menurut pegawai Afghanistan, enam wanita dan dua kanak-kanak terbunuh dalam serangan tersebut.

Menurut pegawai itu lagi, serangan udara oleh tentera AS mensasarkan dua khemah yang didiami oleh penduduk awam.

Kebanyakan daripada mereka merupakan etnik Kuchis rakyat Afghanistan yang berhijrah dari desa dengan binatang ternakan dan mendiami khemah-khemah tersebut. - AP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_12.htm

No comments:

Post a Comment