Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Friday, February 20, 2009

Tambah askar tiada kesan

Bekas menteri Taliban yakin tentera AS berkubur di Afghanistan

KABUL: Seorang bekas menteri kerajaan daripada rejim Taliban yang memerintah Afghanistan, berkata tidak kira berapa ramai Amerika Syarikat menempatkan anggota tentera di negara berkenaan, keadaan akan menjadi sama saja seperti yang dialami 'penceroboh asing' sebelum ini.

Beberapa hari selepas Presiden Barack Obama mengumumkan penambahan besar-besaran anggota tentera AS - seramai 17,000 tidak lama lagi, bekas menteri berkenaan memberitahu stesen televisyen CBS, beliau tidak memahami 'mengapa Amerika terlalu bergantung kepada jumlah besar anggota di negara seperti Afghanistan sedangkan semua penceroboh asing tidak berjaya mengubah keadaan dan kemenangan sentiasa berada di pihak pejuang kebebasan.'

Wartawan CBS, David Martin melaporkan, komander kanan Amerika di Afghanistan bercadang menghantar anggota baru terus ke medan peperangan di selatan dan meminta lebih ramai menyertainya.

Bekas menteri itu yang kini komander Taliban dan anggota Majlis Ketenteraan Taliban, menarik perhatian kepada kegagalan Russia untuk menguasai Afghanistan dan terpaksa berundur berikutan penentangan hebat pejuang berkenaan.

"Lagi ramai askar Amerika dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), ramai lagi akan tersangkut di Afghanistan. Sejarah Afghanistan menunjukkan ia tidak akan berputar balik sepenuhnya, dan kami tidak biasa dengan keadaan dikalahkan oleh orang asing.
"Selama 100 tahun, Afghanistan kekal sebagai kubur orang asing. Tidak ada apa cara pun ia boleh menjadi tempat Amerika mencapai kejayaan dengan tiba-tiba. Ia tidak akan berlaku, dan sejarah tidak akan diubah abad ini juga," kata bekas menteri berkenaan kepada wartawan CBS itu sambil enggan namanya disebut.

Beliau masih mempunyai hubungan dengan kumpulan militan itu, yang digulingkan dalam serangan Amerika pada 2001, dan mendakwa bilangan anggota bersenjata Taliban di Afghanistan akan bertambah pada kadar satu pertiga tahun ini, kepada 10,000 orang.

Katanya, tahun lalu mereka mempunyai 5,000 pejuang dan 3,000 lagi Kuwa Zarbati (anggota simpanan). Jumlah militan paling ramai adalah di selatan Helmand dan wilayah Kandahar.

Katanya, peningkatan itu tiada kaitan pertambahan ramai askar Amerika, tapi diputuskan berikutan perubahan taktik; mengubah perjuangan di kawasan luar bandar ke kawasan berpenduduk. "Jumlah askar tidak penting, apa yang penting adalah strategi baru," katanya. - Agensi

Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Dunia/20090220230529/Article/index_html

No comments:

Post a Comment