Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Thursday, January 22, 2009

Belajar Daripada Kekalahan Soviet

Obama menyampaikan ucapan sulung selepas majlis mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-44 di bangunan Capitol, Washington, semalam.- AFP

KABUL 21 Jan. - Pergerakan Taliban mahu Presiden baru Amerika Syarikat (AS), Barack Obama belajar daripada kekalahan Kesatuan Soviet di Afghanistan dan mengundurkan askar AS bagi membolehkan rakyat Afghan menentukan nasib mereka sendiri.

Jurucakap Taliban menyuarakan pendirian pergerakan itu kepada AFP hari ini selepas Obama mengangkat sumpah sebagai Presiden AS ke-44 semalam.

"Kami tidak ada masalah dengan Obama. Bagaimanapun beliau mesti belajar daripada kesilapan bekas Presiden George W. Bush dan Kesatuan Soviet sebelum itu," kata Yousuf Ahmadi menerusi telefon.

Mujahidin Afghan mengusir tentera Soviet dari negara ini pada 1989 selepas perang selama 10 tahun.

Taliban mendakwa perang tersebut mempunyai persamaan dengan perjuangannya sekarang menentang kerajaan Afghan yang bertahan dengan bantuan AS dan sekutu antarabangsanya.

Selepas konflik bertambah marak pada tahun lepas, pentadbiran baru Obama dijangka mengalihkan fokusnya dari Iraq ke Afghanistan dengan mengerahkan 30,000 lagi askar AS ke negara ini.

Yousuf bagaimanapun berkata, AS hendaklah berhenti "membuat anak- anak mudanya menderita di Afghanistan dan satu-satunya penyelesaian ialah mereka meninggalkan Afghanistan."

"Kami sebuah negara bebas seperti mereka. Mereka datang ke sini untuk menentukan nasib kami.

"Itu tidak mungkin kerana kami rakyat Afghan mahu menentukan nasib kami sendiri," kata Yousuf. – AFP

Sumber :

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_04.htm

Saturday, January 17, 2009

2 Askar AS Maut Di Afghan

ORANG awam lari menyelamatkan diri selepas berlaku letupan dekat kedutaan Jerman dan pangkalan tentera AS dalam serangan bom berani mati menggunakan sebuah kereta di Kabul, semalam.
KABUL, Afghanistan 17 Jan. – Empat terbunuh termasuk dua askar Amerika Syarikat (AS), dalam satu serangan bom berani mati menggunakan kereta di sebuah jalan raya yang dikawal ketat berhampiran Kedutaan Jerman dan pangkalan tentera AS.
Taliban mendakwa bertanggungjawab melakukan serangan itu dan memberitahu bahawa serangan itu disasarkan kepada tentera Jerman.
Jurucakap kerajaan berkata, 35 orang yang lain tercedera termasuk 12 warga AS.
Bomba dan askar bertungkus lumus memadam api yang merebak ke kereta-kereta berdekatan, sementara pihak keselamatan Afghanistan dan tentera AS membawa mangsa yang cedera keluar melalui cermin kereta yang terbakar di jalan tersebut.
Menurut jurucakap tentera AS, kejadian berlaku pada pukul 9.45 pagi waktu tempatan.
Kedutaan Jerman berkongsi sebuah jalan kecil (dua lorong) dengan sebuah pangkalan tentera AS iaitu Camp Eggers dan juga ibu pejabat latihan polis dan askar Afghanistan.
Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid berkata, pengebom berani mati, Shumse Rahman melancarkan serangan tersebut menggunakan sebuah kereta dan mensasarkan kepada dua buah kereta yang dipercayai membawa beberapa pegawai tentera Jerman.
“Ini kerana, Jerman telah terlibat membunuh beberapa orang Afghanistan di utara Afghanistan. Kami akan mensasarkan serangan kepada mana-mana negara yang terlibat dengan pembunuhan penduduk tempatan,” kata Zabiullah.
Jerman mempunyai tentera seramai 3,200 yang kebanyakannya diletakkan di utara negara ini, sementara AS mempunyai 32,000 tentera di negara ini.



Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_06.htm

Sunday, January 11, 2009

Remaja mangsa rogol dibelah perut

KABUL: Ibu dan saudara lelaki seorang mangsa rogol berusia 14 tahun berdepan dakwaan selepas mereka membelah perutnya dan mengeluarkan janin tanpa menggunakan ubat bius. Laporan akhbar Telegraph menyebut, mangsa berada dalam keadaan tenat di hospital selepas keluarganya menjahit sendiri luka dan memberitahu beliau digigit anjing untuk menyembunyikan perbuatan mereka. Lelaki yang dituduh merogol gadis itu berada dalam tahanan. Keluarga mangsa melakukan pengguguran apabila kandungan gadis itu mencecah lima bulan untuk melindungi nama baik keluarga.
Mangsa rogol selalu berdepan stigma sosial keterlaluan, dikurung dan dibiarkan malah dibunuh oleh anggota keluarga sendiri di Afghanistan. Ketua Hospital Bamiyan, Dr Ghulam Mohammad Nader, memberitahu Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) gadis itu mampu menceritakan apa yang berlaku tetapi berada dalam keadaan kritikal kerana jangkitan pada luka. Beliau kini dirawat di Kabul. “Gadis itu terbiar di rumah selama tiga atau empat hari sehingga bapanya membawa beliau ke hospital. Mereka memberitahu mangsa digigit anjing supaya jiran tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku,” katanya. - Agensi

Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dunia/20090111072744/Article/index_html

Monday, December 15, 2008

Perjuangan Sukar Di Afghanistan

KABUL 15 Dis. - Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush hari ini memberi amaran mengenai perjuangan sukar dan berpanjangan untuk mengembalikan kestabilan di Afghanistan.

Bush berkata demikian semasa kunjungan perpisahan ke sini, tujuh tahun selepas beliau mula mengerahkan askar AS ke negara ini.

Pesawat Bush mendarat dalam kegelapan sebelum subuh di Pangkalan Udara Bagram, dekat sini selepas lawatan rahsia yang serupa ke Iraq semalam.

Bagaimanapun insiden 'dibaling kasut' di Baghdad tidak berulang pada sidang media bersama Bush dengan Presiden Hamid Karzai di sini.

Lawatan Bush ke kedua-dua negara yang tentunya menjadi 'peninggalan' beliau itu dilakukan sebelum beliau menyerahkan kunci White House kepada penggantinya, Barack Obama pada 20 Januari ini.

Selepas berucap kepada ratusan askar AS di pangkalan Bagram, Bush terbang dengan helikopter Blackhawk ke Kabul untuk mengadakan rundingan dengan Hamid.

Bush mengakui kesukaran untuk memulihkan keamanan di Afghanistan di mana 70,000 askar asing termasuk askar AS terlibat memerangi pemberontakan Taliban yang semakin meningkat.

"Perjuangan ini akan memakan masa yang lama, kerana pertarungan ideologi memang mengambil masa," kata Bush di Istana Presiden.

Menurut Hamid, negaranya berterima kasih atas bantuan yang diberikan tetapi rakyat Afghanistan "tidak mahu menjadi beban kepada masyarakat antarabangsa buat selama-lamanya."

Ditanya mengenai jadual waktu untuk mengundurkan tentera asing, Hamid menegaskan, sekarang bukanlah masanya untuk bercakap tentang pengunduran.

- AFP

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1216&pub=

Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_08.htm

Saturday, December 13, 2008

Tiga Komando Britain Maut

KABUL: Tiga komando Britain terbunuh di Afghanistan selepas remaja berusia 13 tahun yang menjadi pengebom bunuh diri meletupkan diri ketika menghampiri kumpulan itu bersama bahan letupan yang disembunyikan di dalam kereta sorong, kelmarin.

Kumpulan komando itu terbunuh kurang sejam selepas seorang lagi askar Britain lain maut di wilayah Helmand menjadikan jumlah askar dari negara itu yang maut di Afghanistan tahun ini seramai 46 orang.

Tiga askar elit daripada pasukan Komando Marin Diraja berkenaan sedang meronda ketika dihampiri remaja itu.

Ketika remaja itu semakin hampir dengan kumpulan terbabit, bom yang disembunyikan di bawah kertas di dalam kereta sorong diletupkan pihak tertentu menggunakan alat kawalan jauh.

Seorang daripada komando itu terbunuh serta-merta, seorang lagi mati di tempat kejadian dan komando ketiga maut di hospital.

Sejam sebelum itu, kumpulan askar marin yang meronda menggunakan kenderaan Jackal di luar pekan Sangin melanggar periuk api menyebabkan seorang terbunuh. � Agensi

Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dunia/20081213231639/Article/indexworld_html

Wednesday, December 10, 2008

Askar AS Bunuh Enam Polis Afghanistan

Jurucakap tentera Amerika minta maaf tersilap sasaran turut akibatkan seorang awam maut

KANDAHAR: Sekurang-kurangnya enam anggota polis tempatan dan seorang penduduk awam Afghanistan maut dibunuh dalam operasi terbaru tentera asing diketuai Amerika Syarikat ketika memburu seorang komander Taliban di selatan negara itu, semalam.

Seramai 13 lain turut cedera dalam serangan terbaru berkenaan. Kematian polis Afghanistan terbabit disifatkan sebagai 'kes silap identiti' oleh jurucakap tentera Amerika.

Kejadian itu adalah yang ketiga membabitkan kehilangan nyawa orang awam oleh pakatan tentera asing serta memburukkan lagi imej tentera penceroboh yang sudah beberapa kali melakukan operasi ke atas penempatan awam.

"Setakat ini, seorang penduduk awam dan enam anggota polis Afghanistan maut dalam kejadian di daerah Qalat, wilayah Zabul, ketika operasi mensasarkan individu dikenali komander Taliban," kata jurucakap tentera Amerika di Kabul, Leftenan Komander Walter Matthews.

"Tentera Amerika kesal dengan kejadian ini. Ia disebabkan kesilapan identiti bagi dua pihak terbabit apabila polis Afghanistan dan anggota tentera pakatan asing diketuai Amerika, saling menembak di antara satu sama lain.

Tetapi, tidak diketahui pihak mana yang mula menembak," kata Mathews. Tentera asing itu dikatakan menggunakan senjata ringan dan memanggil bantuan udara.

"Kita tidak pasti bagaimana anggota polis dan orang awam itu boleh maut," kata Matthews.

Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri berserta tentera Amerika, sudah melancarkan siasatan bersama bagi mendapatkan butiran sebenar kejadian. Reuters.

Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Dunia/20081210220613/Article/index_html