Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Saturday, January 17, 2009

2 Askar AS Maut Di Afghan

ORANG awam lari menyelamatkan diri selepas berlaku letupan dekat kedutaan Jerman dan pangkalan tentera AS dalam serangan bom berani mati menggunakan sebuah kereta di Kabul, semalam.
KABUL, Afghanistan 17 Jan. – Empat terbunuh termasuk dua askar Amerika Syarikat (AS), dalam satu serangan bom berani mati menggunakan kereta di sebuah jalan raya yang dikawal ketat berhampiran Kedutaan Jerman dan pangkalan tentera AS.
Taliban mendakwa bertanggungjawab melakukan serangan itu dan memberitahu bahawa serangan itu disasarkan kepada tentera Jerman.
Jurucakap kerajaan berkata, 35 orang yang lain tercedera termasuk 12 warga AS.
Bomba dan askar bertungkus lumus memadam api yang merebak ke kereta-kereta berdekatan, sementara pihak keselamatan Afghanistan dan tentera AS membawa mangsa yang cedera keluar melalui cermin kereta yang terbakar di jalan tersebut.
Menurut jurucakap tentera AS, kejadian berlaku pada pukul 9.45 pagi waktu tempatan.
Kedutaan Jerman berkongsi sebuah jalan kecil (dua lorong) dengan sebuah pangkalan tentera AS iaitu Camp Eggers dan juga ibu pejabat latihan polis dan askar Afghanistan.
Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid berkata, pengebom berani mati, Shumse Rahman melancarkan serangan tersebut menggunakan sebuah kereta dan mensasarkan kepada dua buah kereta yang dipercayai membawa beberapa pegawai tentera Jerman.
“Ini kerana, Jerman telah terlibat membunuh beberapa orang Afghanistan di utara Afghanistan. Kami akan mensasarkan serangan kepada mana-mana negara yang terlibat dengan pembunuhan penduduk tempatan,” kata Zabiullah.
Jerman mempunyai tentera seramai 3,200 yang kebanyakannya diletakkan di utara negara ini, sementara AS mempunyai 32,000 tentera di negara ini.



Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_06.htm

No comments:

Post a Comment