Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Tuesday, October 27, 2009

Bakar al-Quran: Protes ganas berterusan


PELAJAR-PELAJAR universiti di Afghanistan bertempur dengan pasukan keselamatan dengan melontar batu di Kabul, semalam. – AFP


KABUL 26 Okt. – Polis Afghanistan hari ini melepaskan tembakan dan menghalakan meriam air ke arah penunjuk perasaan yang melancarkan protes di sini selepas timbul dakwaan tentera Barat membakar senaskhah al-Quran.
Tiga orang dilaporkan cedera terkena tembakan dalam pertempuran dengan polis, apabila polis cuba menghalang kira-kira 300 pelajar yang kebanyakannya lelaki daripada berarak ke bangunan Parlimen, kata ketua siasatan jenayah polis Kabul, Sayed Abdul Ghafar Sayedzada.
“Polis melepaskan tembakan ke arah orang ramai dan sebutir peluru mengenai saya ketika saya hendak menutup kedai saya,” kata seorang pemuda, Sherullah yang dimasukkan ke hospital setelah cedera di pinggul.
Sayedzada menafikan polis melepaskan tembakan ke arah orang ramai dan mendakwa mereka hanya menembak ke udara, selain menggunakan meriam air.
Bagaimanapun seorang doktor di wad kecemasan hospital Ibn Sina memberitahu AFP, sekurang-kurangnya tiga lelaki yang cedera ditembak telah dimasukkan ke hospital.
Lebih 15 anggota polis turut cedera dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan itu, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Zemarai Bashary.
“Kami mengadakan tunjuk perasaan untuk membantah pembakaran al-Quran oleh tentera asing tetapi polis tiba dan mula memukul kami,” kata seorang pemuda yang ditangkap.
Dalam protes serupa di sini semalam, penunjuk perasaan membakar patung Presiden AS, Barack Obama dan menyerang polis yang melepaskan tembakan ke udara untuk menyuraikan mereka.
Protes serupa tetapi lebih kecil turut berlaku di bandar Jalalabad dan Kandahar pada minggu lepas.
Seorang jurucakap Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) pimpinan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berkata, dakwaan mengenai pembakaran al-Quran itu sudah disiasat dan didapati tidak berasas.
“Siasatan mendapati tidak ada anggota ISAF atau tentera Afghan yang membakar sebarang naskhah al-Quran di wilayah Wardak,” kata jurucakap itu. – AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_02.htm

3 helikopter NATO terhempas

KABUL 26 Okt. - Tiga helikopter tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) terhempas di Afghanistan dalam dua insiden berasingan hari ini, menyebabkan sejumlah 11 askar Amerika Syarikat (AS) dan tiga orang awam AS terbunuh.
Dalam insiden awal pagi ini, tujuh askar AS dan tiga orang awam AS maut dalam nahas sebuah helikopter yang menyertai serangan ke atas kumpulan yang disyaki pengedar dadah di barat Afghanistan.
Seramai 11 askar AS, 14 askar Afghan dan seorang orang awam AS cedera dalam nahas itu.
Dalam nahas satu lagi, empat askar AS terbunuh dan dua rakan mereka cedera apabila dua helikopter yang mereka naiki bertembung di udara di selatan Afghanistan, kubu kuat Taliban dan bahagian paling bergolak di negara ini, menurut Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) kendalian NATO.
"Empat anggota ISAF terbunuh dan dua lagi cedera dalam insiden tersebut. Siasatan sedang dijalankan tetapi sudah disahkan bahawa nahas bukan berpunca daripada tembakan musuh," menurut satu kenyataan ISAF.
Tahun ini merupakan tahun paling berdarah bagi lebih 100,000 askar NATO dan AS yang memerangi pemberontak Taliban sejak serangan diketuai AS pada 2001 menggulingkan rejim Taliban di Kabul.
Laman web bebas, icasualities.org yang menghitung angka kematian askar asing di Afghanistan melaporkan, pada tahun ini 424 askar sudah terkorban, 256 daripadanya askar AS.
Barat Afghanistan semakin menjadi kawasan pemberontak sejak beberapa bulan lalu apabila Taliban melebarkan sayapnya ke seluruh negara ini.
Majlis Antarabangsa mengenai Keselamatan dan Pembangunan di London menganggarkan Taliban mempunyai pangkalan tetap di kawasan meliputi 80 peratus daripada Afghanistan.
Ketika negara ini bersiap sedia untuk mengadakan pengundian pusingan kedua pilihan raya Presiden pada 7 November ini, Taliban mengancam untuk mengulangi taktik keganasan dan ancaman yang menyebabkan berjuta-juta penduduk enggan keluar mengundi pada pengundian pusingan pertama pada 20 Ogos lalu.
Keadaan semakin tegang menjelang pengundian bulan depan bagi memilih antara dua calon, sama ada Presiden Hamid Karzai atau bekas Menteri Luar, Abdullah Abdullah, dan di Kabul semalam, penduduk mengadakan demonstrasi anti-Barat selepas timbul laporan askar AS membakar senaskhah al-Quran dalam operasi anti-Taliban.
Pegawai berkata, persiapan untuk memastikan keselamatan semasa pengundian tersebut dijadual diputuskan hari ini. - AFP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm

Tuesday, October 13, 2009

PBB sahkan penipuan di Afghanistan


KABUL 12 Okt. - Wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Afghanistan, buat kali pertama semalam mengakui bahawa pilihan raya Presiden di negara ini telah dicemari dengan penipuan yang ketara dan meluas.

Kai Eide mengadakan satu sidang media bagi membalas dakwaan yang dibuat timbalannya yang telah dipecat, Peter Galbraith, bahawa beliau telah menyembunyikan bukti penipuan undian tersebut.
Menurut Eide, PBB menyokong siasatan penipuan undi tersebut yang dijangka selesai dan keputusan akhir akan diumumkan dalam masa beberapa hari lagi.

Pilihan raya Presiden Afghanistan yang diadakan pada 20 Ogos lalu, dibayangi dakwaan penipuan, kebanyakannya ditujukan kepada Presiden Hamid Karzai.

Keputusan Eide untuk bercakap kepada media membayangkan kerosakan yang dilakukan oleh Galbraith terhadap kredibiliti PBB, sebagai penganjur dan pembiaya pilihan raya tersebut.

Pada pilihan raya itu, Hamid mendahului keputusan awal dengan kira-kira 55 peratus undi berbanding pesaing terdekatnya, Abdullah Abdullah yang memperolehi 28 peratus undi.

"Memang benar terdapat penipuan ketara di beberapa pusat pengundian di selatan dan tenggara Afghanistan.
"Tahap serius penipuan itu sedang dikenal pasti,'' katanya merujuk kepada siasatan oleh Suruhanjaya Aduan Pilihan Raya (ECC) dan proses mengaudit kotak pengundian yang disyaki terlibat oleh Suruhanjaya Pilihan raya (IEC) pada minggu lalu.

"Dakwaan menyatakan penipuan berlaku pada kadar 30 peratus. Pada peringkat ini, tahap penipuan itu masih belum diketahui.
"Tiada siapa yang tahu. Saya hanya boleh katakan, memang berlaku penipuan yang meluas,'' ujarnya. - AFP

Sumber:http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1013&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_04.htm