Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Sunday, February 22, 2009

Jeneral AS siasat kematian penduduk awam

KABUL 22 Feb. - Seorang pegawai tentera berpangkat jeneral dari Amerika Syarikat (AS) akan dihantar ke negara ini bagi menjalankan siasatan berhubung 13 penduduk awam, termasuk tiga orang disyaki militan terbunuh dalam serangan udara tentera AS, di sini baru-baru ini.

Serangan udara ke atas penduduk awam menjadi isu utama pertelingkahan antara AS dan Presiden Afghanistan, Hamid Karzai yang meminta operasi tentera udara AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tidak mensasarkan ke atas penduduk awam di negara ini.

Menurut kenyataan tentera AS semalam, keputusan untuk menghantar pegawai itu ke wilayah barat Afghanistan di Herat bagi menjalankan siasatan mengenai kejadian itu dan menunjukkan komitmen AS ke atas keselamatan penduduk awam di negara ini.

AS jarang menyiarkan hasil siasatan berhubung kematian melibatkan penduduk awam, dan hari ini membuat pendedahan umum mengenai isu berkenaan selepas menerima pelbagai kritikan daripada Karzai.

Tentera AS memaklumkan bahawa 15 orang disyaki militan terbunuh pada Selasa lalu dalam operasi ketenteraan di daerah Gozara, wilayah Herat.

Bagaimanapun menurut pegawai Afghanistan, enam wanita dan dua kanak-kanak terbunuh dalam serangan tersebut.

Menurut pegawai itu lagi, serangan udara oleh tentera AS mensasarkan dua khemah yang didiami oleh penduduk awam.

Kebanyakan daripada mereka merupakan etnik Kuchis rakyat Afghanistan yang berhijrah dari desa dengan binatang ternakan dan mendiami khemah-khemah tersebut. - AP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_12.htm

Friday, February 20, 2009

Tambah askar tiada kesan

Bekas menteri Taliban yakin tentera AS berkubur di Afghanistan

KABUL: Seorang bekas menteri kerajaan daripada rejim Taliban yang memerintah Afghanistan, berkata tidak kira berapa ramai Amerika Syarikat menempatkan anggota tentera di negara berkenaan, keadaan akan menjadi sama saja seperti yang dialami 'penceroboh asing' sebelum ini.

Beberapa hari selepas Presiden Barack Obama mengumumkan penambahan besar-besaran anggota tentera AS - seramai 17,000 tidak lama lagi, bekas menteri berkenaan memberitahu stesen televisyen CBS, beliau tidak memahami 'mengapa Amerika terlalu bergantung kepada jumlah besar anggota di negara seperti Afghanistan sedangkan semua penceroboh asing tidak berjaya mengubah keadaan dan kemenangan sentiasa berada di pihak pejuang kebebasan.'

Wartawan CBS, David Martin melaporkan, komander kanan Amerika di Afghanistan bercadang menghantar anggota baru terus ke medan peperangan di selatan dan meminta lebih ramai menyertainya.

Bekas menteri itu yang kini komander Taliban dan anggota Majlis Ketenteraan Taliban, menarik perhatian kepada kegagalan Russia untuk menguasai Afghanistan dan terpaksa berundur berikutan penentangan hebat pejuang berkenaan.

"Lagi ramai askar Amerika dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), ramai lagi akan tersangkut di Afghanistan. Sejarah Afghanistan menunjukkan ia tidak akan berputar balik sepenuhnya, dan kami tidak biasa dengan keadaan dikalahkan oleh orang asing.
"Selama 100 tahun, Afghanistan kekal sebagai kubur orang asing. Tidak ada apa cara pun ia boleh menjadi tempat Amerika mencapai kejayaan dengan tiba-tiba. Ia tidak akan berlaku, dan sejarah tidak akan diubah abad ini juga," kata bekas menteri berkenaan kepada wartawan CBS itu sambil enggan namanya disebut.

Beliau masih mempunyai hubungan dengan kumpulan militan itu, yang digulingkan dalam serangan Amerika pada 2001, dan mendakwa bilangan anggota bersenjata Taliban di Afghanistan akan bertambah pada kadar satu pertiga tahun ini, kepada 10,000 orang.

Katanya, tahun lalu mereka mempunyai 5,000 pejuang dan 3,000 lagi Kuwa Zarbati (anggota simpanan). Jumlah militan paling ramai adalah di selatan Helmand dan wilayah Kandahar.

Katanya, peningkatan itu tiada kaitan pertambahan ramai askar Amerika, tapi diputuskan berikutan perubahan taktik; mengubah perjuangan di kawasan luar bandar ke kawasan berpenduduk. "Jumlah askar tidak penting, apa yang penting adalah strategi baru," katanya. - Agensi

Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Dunia/20090220230529/Article/index_html

Wednesday, February 18, 2009

8 orang awam maut serangan AS

HERAT: Polis Afghanistan semalam, berkata, serangan udara diketuai tentera Amerika membunuh enam wanita dan dua kanak-kanak di barat negara itu, tetapi pemerintah tentera menyatakan 15 militan maut dalam kejadian itu.

Mayat lapan lelaki ditemui selepas serangan Isnin lalu di pinggir bandar Herat, kata ketua polis barat Afghanistan, Ikramuddin Yawar.

Tiga daripadanya anggota ‘kumpulan pembangkang’, tetapi identiti lima lagi masih belum dipastikan.

Lima mayat itu ditemui berhampiran mayat wanita dan kanak-kanak, berasal dari puak nomad dan terbunuh berhampiran khemah mereka.

“Kami menghantar sepasukan polis dan tentera menyiasat kejadian itu. Mereka melaporkan enam wanita dan dua kanak-kanak serta lapan lelaki.

“Wanita dan kanak-kanak tidak syak lagi adalah penduduk awam. Tiga daripada lelaki berkenaan anggota pembangkang tetapi kami tidak pasti dengan lima lagi,” katanya. - AFP

Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Dunia/20090219070923/Article/indexworld_html

Friday, February 13, 2009

5 budak terbunuh di Afghanistan

KABUL: Satu pertempuran di antara anggota tentera Australia dan pejuang Taliban di selatan Afghanistan mengakibatkan lima kanak-kanak terkorban, kata Kementerian Pertahanan Australia semalam.

Gabenor wilayah, Asadullah Hamdan, bagaimanapun hanya mengesahkan tiga kanak-kanak di antara tujuh dan 10 tahun terkorban.

Kematian itu berlaku ketika wakil khas Amerika Syarikat yang baru dilantik, Richard Holbrooke melawat Afghanistan dan membangkitkan beberapa isu yang bakal ditangani oleh pentadbiran Presiden Barack Obama.

Ahli Parlimen Afghan menyatakan kebimbangan mereka bahawa penambahan bilangan anggota tentera AS seperti dirancang, akan meningkatkan mangsa di kalangan orang awam.

Holbrooke tiba lewat kelmarin untuk lawatan pertamanya bagi merangka strategi baru untuk berdepan dengan Taliban di Afghanistan dan Pakistan.

Beliau dijangka menemui Presiden Hamid Karzai dan pegawai atasan lain.

Ahli Parlimen Afghan menyatakan kebimbangan mereka bahawa penambahan bilangan anggota tentera AS seperti dirancang, akan meningkatkan mangsa di kalangan orang awam.

Holbrooke tiba lewat kelmarin untuk lawatan pertamanya bagi merangka strategi baru untuk berdepan dengan Taliban di Afghanistan dan Pakistan.

Beliau dijangka menemui Presiden Hamid Karzai dan pegawai atasan lain.

Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Dunia/20090213221828/Article/index_html