Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Saturday, September 5, 2009

90 korban serangan Nato

KABUL: Kira-kira 90 orang terbunuh apabila jet tentera Nato membedil dua tangki minyak yang didakwa dirampas oleh pejuang Taliban di utara Afghanistan, semalam.

Kenyataan markas pemerintah Nato berkata, sebahagian besar yang terbunuh itu adalah anggota Taliban.

Bagaimanapun, kumpulan itu menafikannya, sebaliknya berkata, yang terbunuh ialah penduduk kampung. - Reuters

Sumber: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Global/20090905101443/Article/index_html

Friday, September 4, 2009

90 maut akibat serangan NATO di Afghanistan


BEBERAPA anggota polis memeriksa dua lori tangki minyak yang hangus terbakar di Kunduz, Afghanistan semalam.

KABUL – Penduduk awam merupakan antara 90 yang maut dalam satu serangan menjelang subuh di wilayah Kunduz, utara Afghanistan semalam, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Anders Fogh Rasmussen.

Beberapa pegawai Afghanistan berkata, sebuah jet NATO membedil dua lori tangki yang dirampas kumpulan Taliban sekali gus menyebabkan satu letupan kuat berlaku.

Pegawai pemerintah NATO di Kabul memberitahu, sejumlah besar yang maut atau cedera dalam serangan berhampiran kampung Omar Khel itu adalah anggota militan.

Bagaimanapun, seorang pegawai polis Afghanistan berkata, angka kematian turut melibatkan 40 orang awam

yang sibuk mengisi minyak petrol dari dua buak trak itu ketika kejadian berlaku.

Jurucakap Taliban, Zabiullah Mujahid berkata, dua trak itu dalam perjalanan dari Tajikistan untuk menghantar bekalan ke Kabul sebelum dirampas.

“Benar, sejumlah anggota Taliban terbunuh di samping kemungkinan kehilangan nyawa di kalangan orang awam,” kata Rasmussen berhubung insiden tersebut.

Sementara itu, Presiden Afghanistan, Hamid Karzai mengumumkan satu panel penyiasat akan ditubuhkan bagi menyiasat serangan NATO itu.

“Kami tidak boleh menerima insiden NATO yang menjadikan orang awam sebagai sasaran,” katanya. – Agensi

Sumber:http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0905&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

90 Maut Nato Serang Taliban



SEORANG lelaki melecur dikejarkan ke hospital dengan teksi selepas menjadi mangsa serangan udara Nato di Kunduz.

Orang awam terbunuh mahu ambil minyak percuma daripada militan

KUNDUZ: Sekurang-kurangnya 90 terbunuh, 40 daripadanya orang awam dan berpuluh-puluh lagi cedera selepas pesawat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) melancarkan serangan terhadap militan Taliban yang merampas lori tangki minyak pertubuhan itu.

Serangan udara tentera Nato itu memusnahkan lori tangki minyak yang dirampas Taliban, kata pegawai.

Sebelum ini, Ketua Polis bagi Wilayah Utara Kunduz berkata, lebih 60 orang terbunuh dan cedera. Tetapi, pegawai kerajaan Afghanistan berkata sekurang-kurangnya 90 maut.

"Malam tadi, militan Taliban cuba membawa lori tangki minyak yang mereka rampas ke lebuh raya untuk ke kawasan perkampungan Angorbagh," kata Baryalai Basharyar Parwani, ketua polis daerah Ali Abad di sini.

"Lori tangki minyak itu tersekat di sungai. Ada orang awam bersama mereka ketika serangan dilakukan," katanya.

Gabenor Kunduz, Mohammad Omar juga mengesahkan angka kematian itu.
Jurucakap bagi Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) di bawah Nato memberitahu agensi berita: "Ia adalah serangan udara ISAF". Mangsa yang cedera dengan kesan terbakar dan melecur memenuhi hospital di Kunduz.

Kira-kira lapan orang dilaporkan tenat selepas kulit mereka kehitaman dan menggelupas. Mangsa lain pula mendapati kulit mereka yang terbakar terlekat pada baju.

Kira-kira 200 hingga 250 penduduk kampung dipercayai berkumpul untuk mengambil minyak percuma daripada lori tangki yang dirampas Taliban, kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Farid Rahid.

"Malangnya ramai orang awam maut dan cedera. Pengarah kesihatan wilayah mengesahkan 12 orang cedera dan seorang maut dimasukkan ke hospital wilayah," katanya.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, berkata penduduk datang untuk mendapatkan minyak apabila pesawat Nato melancarkan serangan. – AFP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Dunia/20090904234238/Article/indexworld_html

Wednesday, September 2, 2009

Timbalan Menteri Perisikan Mati Dibom

KABUL: Letupan bom pengebom berani mati membunuh Timbalan Menteri Perisikan Afghanistan, Abdullah Laghmani ketika beliau melawat sebuah masjid di Mehterlam, Laghman, timur Kabul, semalam.

Serangan itu turut meragut 23 nyawa lain, termasuk beberapa pegawai kanan bandar itu dan mencederakan puluhan pengunjung lagi.

Serangan itu turut mencalar imej perisikan Afghanistan dan menunjukkan Taliban kini semakin mampu melancarkan serangan yang lebih rumit dan menjadikan pegawai kerajaan sebagai sasaran mereka.

Letupan berlaku ketika delegasi Abdullah dalam perjalanan keluar dari masjid itu.

Kereta Land Cruiser yang dinaikinya musnah sama sekali manakala kereta yang digunakan pengawalnya pula rosak teruk akibat letupan itu.

“Saya melihat delegasi itu keluar dari masjid dan ketika mereka masuk ke kereta, satu letupan berlaku,” kata seorang saksi yang cedera dalam serangan itu.

Jurucakap Taliban berkata, seorang pengebom berani mati yang berjalan kaki bertanggungjawab melancarkan serangan itu. - AP

Sumber: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Global/20090903072210/Article/index_html

Taliban Letup Diri, 23 Terbunuh

KABUL 2 Sept. - Timbalan ketua perkhidmatan perisikan Afghanistan dan 22 yang lain terbunuh apabila seorang militan pengebom berani mati Taliban meletupkan diri di sebuah masjid ke timur ibu negara ini, hari ini.

Serangan yang mengenai pegawai tinggi perisikan Afghan itu membuktikan keupayaan Taliban yang semakin meningkat untuk melaksanakan serangan yang rumit ke atas sasaran tertentu.

Letupan tersebut berlaku di tengah-tengah orang ramai di wilayah Laghman ketika pegawai sedang meninggalkan masjid utama di Mehterlam, 100 kilometer ke timur Kabul, setelah melakukan lawatan ke situ.

Turut terbunuh ialah dua pegawai atasan wilayah Laghman dalam letupan yang memusnahkan beberapa kenderaan kerajaan.

Seorang jurucakap Taliban berkata, seorang pengebom berani mati yang berjalan kaki menjadikan timbalan ketua Direktorat Keselamatan Negara (NDS), Abdullah Laghmani sebagai sasaran.

Jurucakap Gabenor Laghman, Sayed Ahmad Safi mengesahkan Laghmani terbunuh.

NDS diketuai seorang etnik Tajik dan pembunuhan Laghmani, seorang etnik Pashtun, boleh memburukkan lagi ketegangan etnik ketika pihak berkuasa masih mengira undi pilihan raya Presiden pada 20 Ogos lalu.

Setelah kira-kira separuh keputusan undi diketahui, Presiden Hamid Karzai yang merupakan seorang etnik Pashtun masih mendahului pencabar utamanya, Abdullah Abdullah yang berketurunan Pashtun-Tajik, tetapi dilihat sebagai calon Tajik.

Pegawai tinggi kerajaan kerap menjadi sasaran berani mati Taliban.

Puak militan itu sudah lama memberi amaran kepada rakyat Afghan supaya jangan bekerja sebagai pegawai kerajaan, guru atau anggota tentera. - AP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0903&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_06.htm

Tuesday, September 1, 2009

Abdullah tak mahu kongsi kuasa


ABDULLAH menyampaikan ceramah kepada penyokong Pashtun di Kabul, Afghanistan.

Pencabar terus tuduh kerajaan bantu Presiden tipu undi dalam pilihan raya

KABUL: Pencabar utama jawatan Presiden di Afghanistan menolak sebarang langkah berkongsi kuasa dengan penyandang Hamid Karzai dan pada masa sama, memperhebat tuduhan berlakunya penipuan undi.

Abdullah Abdullah yang menuduh jentera kerajaan melakukan penipuan undi besar-besaran bagi membolehkan Karzai menang, memberitahu demikian dalam pertemuannya dengan pemimpin puak dari selatan Afghanistan yang dianggap kubu kuat lawan.

"Saya beri jaminan kepada kamu bahawa saya tidak akan buat sebarang perjanjian bagi pihak kamu. Saya tidak akan lakukannya untuk berkuasa," katanya.

Selepas kiraan undi di separuh daripada stesen mengundi, Karzai mendahului Abdullah dengan 45.8 peratus kepada 33.2 peratus, angka yang belum memenuhi majoriti bagi mengelak undi pusingan kedua.

Abdullah menjalankan kempen menjanjikan pembaharuan. Penganalisis percaya, Karzai mahu membentuk kerajaan gabungan untuk memerintah secara konsensus.

Pilihan raya presiden dan wilayah 20 Ogos lalu dibayangi semakin banyak tuduhan penipuan dan ada kebimbangan hanya 30 hingga 35 peratus pengundi saja mengambil bahagian atau lebih rendah lagi di kubu Taliban di selatan.

Ketika berkempen, Abdullah dituduh menggalakkan penyokongnya melakukan protes jika beliau kalah dalam pilihan raya kali ini tetapi beliau sekali lagi meminta semua pihak bertenang.

"Saya akan pertahan hak kamu hingga ke saat akhir," katanya sambil memberi amaran bahawa kemenangan Karzai hanya menyaksikan kerajaan yang mengamalkan rasuah memerintah lima tahun lagi.

"Kami akan pertahan hak kamu menerusi cara yang sah dan aman," katanya ketika pemimpin puak tertentu mengancam melancarkan keganasan kerana menuduh penipuan undi berlaku.

"Kami mahu Karzai letak jawatan. Kami mahu pentadbiran sementara dibentuk untuk mengadakan pilihan raya bebas dan adil," kata seorang daripada mereka, Haji Manan dari Helmand.

"Saya akan lancar penentangan bersenjata. Saya bersumpah atas nama tuhan, kami akan menentang jikan kerajaan Islam tidak memerintah. Askar Amerika Syarikat memasuki rumah kami dan membunuh anak lelaki kami," tambahnya. - AFP

Sumber: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Wednesday/Dunia/20090902020307/Article/indexworld_html

Lelaki Afghan hilang hidung



KABUL 1 Sept. - Militan Taliban telah bertindak ganas memotong hidung dan kedua-dua belah telinga seorang petani Afghanistan, Lal Mohammad, 40, ketika lelaki itu keluar mengundi pada pilihan raya Presiden Afghanistan pada 20 Ogos lalu.

"Saya menyesal saya pergi mengundi."Apa kebaikan yang saya dapat daripada mengundi?" katanya sambil menangis di katil hospital di Kabul.

Lal adalah salah seorang daripada berjuta-juta penduduk yang tidak mempedulikan ancaman Taliban supaya tidak keluar mengundi dalam pilihan raya 20 Ogos lalu.

Sebelum pilihan raya itu, militan Taliban mengugut akan mencederakan pengundi serta melancarkan serangan peluru berpandu dan bom pada hari pengundian sebagai ancaman menghalang rakyat Afghanistan keluar mengundi.

Lal berkata, dia menyesal tidak mengendahkan amaran itu.

Ketika kejadian militan Taliban telah menyerbu, menahan dan memeriksanya sebelum dia dipukul dengan raifal AK-47 selepas mereka menemui kad pengundi bersama-samanya.

"Selepas itu salah seorang daripada mereka (Taliban) mengeluarkan pisau dan meletakkannya pada hidung saya.

"Saya merayunya supaya mereka tidak mencederakannya tetapi sia-sia," katanya, sambil menambah kata, dia pengsan dengan berlumuran darah dan hanya sedar beberapa jam kemudian apabila seorang penduduk kampung menemuinya. - Agensi

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0902&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_05.htm