Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Tuesday, June 16, 2009

Tentera AS kawal pilihan raya

KABUL 16 Jun - Amerika Syarikat (AS) menghantar berpuluh-puluh ribu anggota tentera sebagai persiapan menghadapi kemungkinan keganasan oleh puak Taliban sepanjang musim kempen pilihan raya Presiden Afghanistan yang akan berlangsung selama dua bulan mulai hari ini.

Kempen didapati bermula agak perlahan. Suasana pilihan raya hanya terpancar melalui aktiviti menaikkan poster-poster Presiden Hamid Karzai, yang sedang dalam lawatan ke Rusia, dan poster 40 calon pencabar di sepanjang laluan di Kabul menjelang pengundian pada 20 Ogos ini.

Karzai yang memimpin Afghanistan sejak rejim Taliban ditumbangkan pada tahun 2001 ekoran serangan tentera AS dan telah memenangi dengan selesa pilihan raya pertama Presiden pada 2004 dijangka akan mengekalkan jawatan pada pilihan raya kali ini, meskipun ramai rakyat tidak senang dengan corak kepimpinannya.

Keganasan puak militan terus meningkat dengan orang ramai terus lantang mengkritik pembunuhan orang awam dalam operasi ketenteraan yang dilancarkan oleh kerajaan dan tentera AS.

Malah keadaan ekonomi yang buruk, rasuah dan masalah kemiskinan yang terus membelenggu Afghanistan turut menjadi isu pilihan raya.

Pencabar utama Karzai kali ini datangnya daripada ahli Kabinet yang juga bekas menteri kewangan, Asharf Ghani dan bekas menteri luar, Abdullah Abdullah.

"Saya mengundi Karzai pada pilihan raya lalu, tetapi kali ini saya tidak akan undi dia lagi," kata Mohammad Shokran, 28, pelajar perubatan yang berdiri di tepi poster tiga calon pencabar utama di salah satu sudut jalan di sini.

"Dia (Karzai) tidak menyumbang apa-apa untuk membangunkan negara secara lebih progresif. Abdullah adalah calon terbaik bagi menduduki kerusi Presiden kali ini," katanya.

Kempen perang poster di sepanjang jalan menyaksikan ia lebih didominasi oleh dua calon Naib Presiden termasuk bekas panglima perang yang dituduh menyalahguna kuasa, Mohammad Qasim Fahim.

Pada pilihan raya 2004, seramai 18 calon yang bertanding telah mengadakan kempen selama 40 hari.

Tetapi kali ini, calon-calon dibenar berkempen selama 60 hari yang akan berakhir pada 18 Ogos ini. - AP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0617&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_13.htm

No comments:

Post a Comment