Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Monday, June 29, 2009

Tapak purba Afghanistan terancam



GAMBAR merupakan tapak yang kini dikaji oleh Delegasi Arkeologi Perancis di Afghanistan yang dipercayai pernah dihuni oleh manusia pada abad ke-6 sebelum Masihi tetapi kini diancam projek pembinaan jalan raya yang merentasinya. – AFP

KABUL 29 Jun – Sebuah tapak arkeologi penting di utara Afghanistan yang pernah didiami oleh manusia sejak abad ke-6 sebelum Masihi kini diancam oleh pembinaan sebuah jalan, kata ahli-ahli arkeologi.

“Gaung Cheshma-e-Shafa yang tercantik di utara Balkh adalah satu daripada beberapa tapak purba diancam kemusnahan oleh pihak berkuasa pasca Taliban yang mengarahkan pembinaan dijalankan,” kata mereka.

Ini berlaku walaupun wujud undang-undang untuk melindungi warisan negara itu.

Kesan habitat manusia purba telah ditemui pada 2007 di Cheshma-e-Shafa, kira-kira 30 kilometer ke barat daya bandar Mazar-i-Sharif, menurut pertubuhan Delegasi Arkeologi Perancis di Afghanistan (DAFA).

Kesan-kesan arkeologi itu didapati berasal dari era Achaemenid (abad ke-6 hingga ke-4 sebelum Masihi), yang dinamakan sempena Dinasti Parsi yang pertama memerintah di kawasan itu sehingga disingkir oleh Iskandar Zulkarnaen.

Namun, sebuah syarikat Korea Selatan telah dilantik oleh pihak kerajaan untuk membina sebuah jalan merentasi tapak tersebut,” kata pengarah DAFA, Roland Besenval yang mengetuai ekspedisi tersebut.

“Kami telah menghentikan jentera pengorek dengan berdiri di hadapan mereka tetapi kerja-kerja itu dimulakan semula keesokan harinya,’’ katanya kepada AFP.

“Mereka boleh membina jalan menghala ke timur tetapi jelas mereka tidak mahu berbuat demikian.

“Undang-undang Afghanistan telah melarang sebarang kemusnahan di tapak arkeologi tersebut. Kementerian Kerja Raya juga mengetahui mengenai semua ini, begitu juga dengan Kementerian Kebudayaan,” katanya.

Menurut DAFA, jurutera daripada Samwhan Corporation Korea menyatakan dalam mesyuarat itu bahawa mereka akan terpaksa menggunakan bahan letupan untuk meletupkan gaung yang sempit itu bagi pembinaan jalan.

DAFA berkata, walaupun mereka telah merayu, syarikat tersebut tetap akan meneruskan projek mereka.

“Pihak berkuasa telah mengarahkan kami untuk meneruskan pembinaan jalan mengikut reka bentuk yang ditetapkan tanpa mengira kebimbangan yang anda kemukakan di dalam mesyuarat ini,” kata syarikat Korea itu dalam e-mel kepada DAFA.

“Kawasan tersebut pernah ditakluk sehingga abad ke-13 dan merupakan laluan yang digunakan oleh Iskandar Zulkarnaen dan penakluk-penakhluk lain.

“Ini adalah tapak yang menjadi laluan lama yang sering digunakan oleh rakyat dari Asia Tengah ke India, dan merupakan satu kawasan yang strategik untuk mengawal trafik,” tambah ahli sains DAFA, Philippe Marquis.

“Kemudian orang Mongolia merentasi laluan itu kira-kira 1220 dan memusnahkan keseluruhan rantau itu dan kawasan itu kemudiannya terhapus kepentingan strategik.

“Antara ciri-ciri purba itu ialah dinding-dinding setinggi 15 meter dan sembilan meter tebal dan sebuah kuil api Zoroastrian yang merupakan “ satu daripada bangunan purba di dunia,” katanya lagi.

Zoroastrianism adalah satu daripada agama tertua di dunia yang ditubuhkan oleh Zarathustra, yang dipercayai telah hidup di bandar purba Bactria, kini dikenali sebagai Balkh iaitu kira-kira 30 kilometer utara Cheshma-e-Shafa.

“Zarathustra mungkin pernah tinggal di sini,” kata Marquis berdasarkan tapak yang diancam kemusnahan tersebut.

Afghanistan yang kaya dengan warisan purba kala telah dirompak, terbiar atau dimusnahkan sepanjang peperangan beberapa dekad lalu.

Satu daripada contohnya ialah tindakan Taliban memusnahkan beberapa patung Bamiyan Buddha pada tahun 2001. – AFP

Sumber: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_07.htm

Sunday, June 21, 2009

Wartawan NYT lari daripada Taliban

David Rohde


KABUL: Seorang wartawan New York Times (NYT) terkenal kerana sering melakukan siasatan di zon konflik, memanjat tembok dan berjaya melepaskan diri daripada penculik Taliban selepas lebih tujuh bulan ditawan di Afghanistan dan Pakistan, kata akhbar kelmarin.

David S. Rohde, 41, diculik 10 November lalu bersama seorang rakan wartawan Afghanistan dan seorang pemandu di selatan ibu kota ini. Beliau dalam perjalanan melalui wilayah Logar untuk menemuramah seorang komander Taliban, namun dipintas dan diculik.

NYT melaporkan, Rohde dan wartawan tempatan Tahir Ludin, 35, memanjat melepasi tembok tempat mereka ditahan di Waziristan Utara.

Mereka kemudian menemui seorang anggota tentera Pakistan yang membawa mereka ke pangkalan terdekat. Kelmarin, keduanya dihantar ke pangkalan tentera Amerika Syarikat di Bagram, Afghanistan.

Jurucakap tentera Amerika, Lt Komander Christine Sidenstricker, berkata tentera tidak terbabit menculik. Beliau tidak dapat memberitahu sama ada Jabatan Negara Amerika atau Agensi Perisikan Pusat (CIA) menahan mereka.

Rohde yang dilaporkan berada dalam keadaan baik, berkata pemandunya masih ditawan.

Di Washington, setiausaha media Rumah Putih, Robert Gibbs, berkata Amerika bersyukur Rohde selamat dan kembali ke rumahnya. Beliau berkata, insiden melarikan diri itu "tamatnya penderitaan beliau selepas lama ditahan." - AP

Sumber:http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Dunia/20090621235143/Article/indexworld_html

Saturday, June 20, 2009

Enam korban letupan bom tepi jalan

HERAT: Sekurang-kurangnya enam orang daripada sebuah keluarga terbunuh, apabila sebutir bom tepi jalan meletup berhampiran kereta mereka di barat Afghanistan semalam, dipercayai dilakukan militan Taliban.

Kejadian berlaku di wilayah Herat adalah keganasan terbaru oleh pemisah di negara bergolak itu.

"Kami mengesyaki bom itu dipasang puak Taliban dan mensasarkan pasukan keselamatan. Bagaimanapun ia meletup dan terkena kereta keluarga malang itu menyebabkan tiga wanita dan tiga lelaki terbunuh," kata jurucakap pejabat pentadbiran awam tempatan, Naqibullah Arween.


Beliau berkata, mangsa terbunuh adalah daripada sebuah keluarga yang menuju daerah Gozara selepas melawat saudara mara mereka di Bandaraya Herat.

Pemisah Islam, kebanyakannya daripada puak Taliban yang berkuasa antara 1996 dan 2001 meningkatkan penentangan mereka dan ia semakin ganas sejak beberapa minggu ini, berikutan tarikh pilihan raya presiden yang semakin hampir. - AFP

Sumber: http://bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dunia/20090620230616/Article/indexworld_html

Tuesday, June 16, 2009

Tentera AS kawal pilihan raya

KABUL 16 Jun - Amerika Syarikat (AS) menghantar berpuluh-puluh ribu anggota tentera sebagai persiapan menghadapi kemungkinan keganasan oleh puak Taliban sepanjang musim kempen pilihan raya Presiden Afghanistan yang akan berlangsung selama dua bulan mulai hari ini.

Kempen didapati bermula agak perlahan. Suasana pilihan raya hanya terpancar melalui aktiviti menaikkan poster-poster Presiden Hamid Karzai, yang sedang dalam lawatan ke Rusia, dan poster 40 calon pencabar di sepanjang laluan di Kabul menjelang pengundian pada 20 Ogos ini.

Karzai yang memimpin Afghanistan sejak rejim Taliban ditumbangkan pada tahun 2001 ekoran serangan tentera AS dan telah memenangi dengan selesa pilihan raya pertama Presiden pada 2004 dijangka akan mengekalkan jawatan pada pilihan raya kali ini, meskipun ramai rakyat tidak senang dengan corak kepimpinannya.

Keganasan puak militan terus meningkat dengan orang ramai terus lantang mengkritik pembunuhan orang awam dalam operasi ketenteraan yang dilancarkan oleh kerajaan dan tentera AS.

Malah keadaan ekonomi yang buruk, rasuah dan masalah kemiskinan yang terus membelenggu Afghanistan turut menjadi isu pilihan raya.

Pencabar utama Karzai kali ini datangnya daripada ahli Kabinet yang juga bekas menteri kewangan, Asharf Ghani dan bekas menteri luar, Abdullah Abdullah.

"Saya mengundi Karzai pada pilihan raya lalu, tetapi kali ini saya tidak akan undi dia lagi," kata Mohammad Shokran, 28, pelajar perubatan yang berdiri di tepi poster tiga calon pencabar utama di salah satu sudut jalan di sini.

"Dia (Karzai) tidak menyumbang apa-apa untuk membangunkan negara secara lebih progresif. Abdullah adalah calon terbaik bagi menduduki kerusi Presiden kali ini," katanya.

Kempen perang poster di sepanjang jalan menyaksikan ia lebih didominasi oleh dua calon Naib Presiden termasuk bekas panglima perang yang dituduh menyalahguna kuasa, Mohammad Qasim Fahim.

Pada pilihan raya 2004, seramai 18 calon yang bertanding telah mengadakan kempen selama 40 hari.

Tetapi kali ini, calon-calon dibenar berkempen selama 60 hari yang akan berakhir pada 18 Ogos ini. - AP

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0617&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_13.htm