Bush berkata demikian semasa kunjungan perpisahan ke sini, tujuh tahun selepas beliau mula mengerahkan askar AS ke negara ini.
Pesawat Bush mendarat dalam kegelapan sebelum subuh di Pangkalan Udara Bagram, dekat sini selepas lawatan rahsia yang serupa ke Iraq semalam.
Bagaimanapun insiden 'dibaling kasut' di Baghdad tidak berulang pada sidang media bersama Bush dengan Presiden Hamid Karzai di sini.
Lawatan Bush ke kedua-dua negara yang tentunya menjadi 'peninggalan' beliau itu dilakukan sebelum beliau menyerahkan kunci White House kepada penggantinya, Barack Obama pada 20 Januari ini.
Selepas berucap kepada ratusan askar AS di pangkalan Bagram, Bush terbang dengan helikopter Blackhawk ke Kabul untuk mengadakan rundingan dengan Hamid.
Bush mengakui kesukaran untuk memulihkan keamanan di Afghanistan di mana 70,000 askar asing termasuk askar AS terlibat memerangi pemberontakan Taliban yang semakin meningkat.
"Perjuangan ini akan memakan masa yang lama, kerana pertarungan ideologi memang mengambil masa," kata Bush di Istana Presiden.
Menurut Hamid, negaranya berterima kasih atas bantuan yang diberikan tetapi rakyat Afghanistan "tidak mahu menjadi beban kepada masyarakat antarabangsa buat selama-lamanya."
Ditanya mengenai jadual waktu untuk mengundurkan tentera asing, Hamid menegaskan, sekarang bukanlah masanya untuk bercakap tentang pengunduran.
- AFP
Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1216&pub=
Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_08.htm