Sekelumit Rasa Sejernih Suasana

Monday, December 15, 2008

Perjuangan Sukar Di Afghanistan

KABUL 15 Dis. - Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush hari ini memberi amaran mengenai perjuangan sukar dan berpanjangan untuk mengembalikan kestabilan di Afghanistan.

Bush berkata demikian semasa kunjungan perpisahan ke sini, tujuh tahun selepas beliau mula mengerahkan askar AS ke negara ini.

Pesawat Bush mendarat dalam kegelapan sebelum subuh di Pangkalan Udara Bagram, dekat sini selepas lawatan rahsia yang serupa ke Iraq semalam.

Bagaimanapun insiden 'dibaling kasut' di Baghdad tidak berulang pada sidang media bersama Bush dengan Presiden Hamid Karzai di sini.

Lawatan Bush ke kedua-dua negara yang tentunya menjadi 'peninggalan' beliau itu dilakukan sebelum beliau menyerahkan kunci White House kepada penggantinya, Barack Obama pada 20 Januari ini.

Selepas berucap kepada ratusan askar AS di pangkalan Bagram, Bush terbang dengan helikopter Blackhawk ke Kabul untuk mengadakan rundingan dengan Hamid.

Bush mengakui kesukaran untuk memulihkan keamanan di Afghanistan di mana 70,000 askar asing termasuk askar AS terlibat memerangi pemberontakan Taliban yang semakin meningkat.

"Perjuangan ini akan memakan masa yang lama, kerana pertarungan ideologi memang mengambil masa," kata Bush di Istana Presiden.

Menurut Hamid, negaranya berterima kasih atas bantuan yang diberikan tetapi rakyat Afghanistan "tidak mahu menjadi beban kepada masyarakat antarabangsa buat selama-lamanya."

Ditanya mengenai jadual waktu untuk mengundurkan tentera asing, Hamid menegaskan, sekarang bukanlah masanya untuk bercakap tentang pengunduran.

- AFP

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1216&pub=

Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_08.htm

Saturday, December 13, 2008

Tiga Komando Britain Maut

KABUL: Tiga komando Britain terbunuh di Afghanistan selepas remaja berusia 13 tahun yang menjadi pengebom bunuh diri meletupkan diri ketika menghampiri kumpulan itu bersama bahan letupan yang disembunyikan di dalam kereta sorong, kelmarin.

Kumpulan komando itu terbunuh kurang sejam selepas seorang lagi askar Britain lain maut di wilayah Helmand menjadikan jumlah askar dari negara itu yang maut di Afghanistan tahun ini seramai 46 orang.

Tiga askar elit daripada pasukan Komando Marin Diraja berkenaan sedang meronda ketika dihampiri remaja itu.

Ketika remaja itu semakin hampir dengan kumpulan terbabit, bom yang disembunyikan di bawah kertas di dalam kereta sorong diletupkan pihak tertentu menggunakan alat kawalan jauh.

Seorang daripada komando itu terbunuh serta-merta, seorang lagi mati di tempat kejadian dan komando ketiga maut di hospital.

Sejam sebelum itu, kumpulan askar marin yang meronda menggunakan kenderaan Jackal di luar pekan Sangin melanggar periuk api menyebabkan seorang terbunuh. � Agensi

Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dunia/20081213231639/Article/indexworld_html

Wednesday, December 10, 2008

Askar AS Bunuh Enam Polis Afghanistan

Jurucakap tentera Amerika minta maaf tersilap sasaran turut akibatkan seorang awam maut

KANDAHAR: Sekurang-kurangnya enam anggota polis tempatan dan seorang penduduk awam Afghanistan maut dibunuh dalam operasi terbaru tentera asing diketuai Amerika Syarikat ketika memburu seorang komander Taliban di selatan negara itu, semalam.

Seramai 13 lain turut cedera dalam serangan terbaru berkenaan. Kematian polis Afghanistan terbabit disifatkan sebagai 'kes silap identiti' oleh jurucakap tentera Amerika.

Kejadian itu adalah yang ketiga membabitkan kehilangan nyawa orang awam oleh pakatan tentera asing serta memburukkan lagi imej tentera penceroboh yang sudah beberapa kali melakukan operasi ke atas penempatan awam.

"Setakat ini, seorang penduduk awam dan enam anggota polis Afghanistan maut dalam kejadian di daerah Qalat, wilayah Zabul, ketika operasi mensasarkan individu dikenali komander Taliban," kata jurucakap tentera Amerika di Kabul, Leftenan Komander Walter Matthews.

"Tentera Amerika kesal dengan kejadian ini. Ia disebabkan kesilapan identiti bagi dua pihak terbabit apabila polis Afghanistan dan anggota tentera pakatan asing diketuai Amerika, saling menembak di antara satu sama lain.

Tetapi, tidak diketahui pihak mana yang mula menembak," kata Mathews. Tentera asing itu dikatakan menggunakan senjata ringan dan memanggil bantuan udara.

"Kita tidak pasti bagaimana anggota polis dan orang awam itu boleh maut," kata Matthews.

Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri berserta tentera Amerika, sudah melancarkan siasatan bersama bagi mendapatkan butiran sebenar kejadian. Reuters.

Sumber : http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Dunia/20081210220613/Article/index_html